Siapakah kawan?
Kawan ialah orang yang boleh anda harapkan seperti:
•Menemani anda semasa anda keseorangan
•Boleh berkongsi minat dan pengalaman bersama anda
•Sedia membantu agar anda merasa senang dan terhibur
•Sedia bersama menemani anda untuk bergembira di sebarang majlis keramaian
•Bersedia menemani anda untuk aktiviti sosial seperti makan, menonton atau bersantai
•Dapat memberikan sokongan emosi yang diperlukan menjadi pendengar yang baik,
mempunyai rasa simpati, memberi keyakinan, nasihat, cadangan dan sentiasa memberi
galakkan serta mengambil berat tentang diri anda
•Bersedia untuk memberi anda pengetahuan atau peristiwa-peristiwa terkini
•Bersedia membantu anda bila masa sahaja yang diperlukan
•Dapat memberikan perasaan diri anda dipunyai dan diperlukan dalam sesuatu kumpulan
sosial
Bagaimana saya hendak memilih kawan?
Anda mungkin mempunyai alasan tersendiri dalam memilih kawan. Oleh itu pilihlah kawan berdasarkan alasan anda itu.
Bagaimana cara saya hendak memulakan persahabatan?
•Mulakan perkenalan dan cuba kenali mereka
•Tegur dan beri salam serta perkenalkan diri anda
•Bertanyakan tentang diri mereka (Contoh: datang dari mana, apa kegemaran mereka)
•Dengar penjelasan mereka dengan penuh minat
•Cuba cari sesuatu topik biasa untuk dibualkan atau ajak mereka bermain bersama anda
Jika kita menunjukkan minat untuk mendekati seseorang, mereka akan rasa
diperlukan. Walau bagaimanapun elakkan meminta informasi yang mungkin agak
personal yang mereka enggan beritahu anda. Hormati keputusan atau tindakan mereka
yang enggan memberitahu anda mengenai sesuatu perkara. Jangan memaksa.
Apakah halangan dalam menjalinkan persahabatan?
•Memanggil atau memberi gelaran nama yang negatif yang tidak disukainya
•Suka bertekak dan cepat memberi kata putus
•Tidak bersetuju dengan pendapat orang lain walaupun diri sendiri tidak mempunyai
idea
•Berlagak dan sentiasa mengarah
•Bercerita tentang diri sendiri sahaja
•Suka mengumpat dan bercerita tentang keburukan orang lain
•Bersikap negatif dan suka menyindir
•Kedekut
•Suka menunjuk-nunjuk dan bercakap besar
•Suka buli orang dan memaksa orang lain melakukan sesuatu yang tidak disukainya
Apa akan terjadi jika saya tidak berkawan?
•Anda akan merasa keseorangan dan kesunyian
•Kurang mendapat bantuan semasa anda memerlukannya
•Kurang mendapat sokongan emosi semasa ketiadaan ibu bapa atau penjaga di sisi
•Kurang atau tiada kawan untuk menemani anda untuk bermain atau bersiar-siar
Apa yang perlu saya lakukan jika saya disisihkan oleh kawan?
Kadang-kadang orang tidak berminat untuk berkawan dengan anda. Mereka akan memberitahu anda secara lembut atau kasar. Tidak mengapa walaupun anda rasa tersinggung, sedih atau marah.
Cara untuk mengatasi masalah tersebut:
1.Cuba fikirkan apa yang perlu anda lakukan untuk anda mendekatinya
2.Walaupun dia enggan menerima anda sebagai kawannya, pastikan anda tidak
memusuhinya
Berkatalah pada diri anda sendiri:
•"Walaupun saya tidak suka disisihkan oleh kawan, saya dapat mengatasinya."
•"Tidak mengapa, saya boleh menjalinkan persahabatan dengan orang lain."
•"Walaupun saya tidak suka apabila merasai seperti tidak diperlukan, memandangkan
saya seorang yang baik, saya pasti akan dapat kawan baru."
•"Saya tidak menyukai sikapnya yang kasar, tetapi itu masalahnya. Saya tidak perlu
hiraukan."
•"Saya dapat mengatasinya walaupun saya tahu sikapnya yang suka mengampu (bodek)"
Bagaimanakah perasaan jika saya tidak diterima sebagai kawan?
Mereka yang tidak diterima sebagai kawan akan merasa atau memikirkan:
•"Apakah saya ini tidak berguna sehingga orang enggan berkawan dengan saya?"
•"Saya sudah pun berlembut dengan sikapnya yang bongkak. Saya tidak suka padanya!"
•"Dia tidak berminat untuk berkawan dengan saya, mungkin saya membosankan"
•"Saya diperlakukan seperti orang bodoh, dengan diperbodohkan saya, dia fikir siapa
dia?!"
Perasaan negatif ini memang sepatutnya membuat anda marah, pahit dan rasa terhina. Dengan berfikiran sedemikian, tidak akan membantu anda. Cuba cari jalan lain yang lebih positif dan lakukan sesuatu yang lebih baik supaya anda rasa lebih selesa.
Di manakah saya boleh mendapatkan kawan?
•Sekolah
•Jiran tetangga
•Balai Rakyat
•Kelab sukan
•Pusat membeli belah
•Tempat-tempat ibadat (seperti - masjid, gereja, kuil)
•Berkhemah
•Taman Rekreasi
•Perhimpunan sosial - contoh: rumah terbuka, majlis jamuan, jogathon dan sebagainya
•Internet - melalui "chat" atau email
•Pada dasarnya di mana sahaja
Apa persediaan diri yang diperlukan sebelum saya menjalinkan persahabatan?
Anda mungkin memikirkan mengenai:
•Bagaimanakah kawan yang saya inginkan?
•Di manakah boleh saya bertemu mereka?
•Apa yang akan saya bualkan dengan mereka?
•Apa yang perlu saya katakan atau lakukan supaya mereka menjadi kawan saya?
Apakah akan saya lakukan jika saya tidak diterima sebagai kawannya?
Berlatih dengan seseorang yang boleh anda percayai. Jika cara yang anda lakukan tidak sukses (berjaya), tukar dan cuba dengan cara yang lain pula.
Apakah OK jika mengalami perasaan gementar semasa menjalinkan persahabatan?
Perasaan gementar kadang-kadang dapat dirasai apabila bertemu orang walau kawan biasa tambahan pula dengan orang baru, terutama yang anda minati . Itu adalah perkara biasa. Lama kelamaan keadaan akan kembali seperti biasa selepas anda melaluinya dalam beberapa waktu.
Saya pemalu, Tidak suka mulakan perkenalan. Apa yang harus saya lakukan?
Ramai orang yang pemalu. Mereka lebih suka ditegur atau disapa terlebih dahulu. Anda masih boleh meneruskan persahabatan secara begini, tetapi anda akan dapat lebih ramai kawan jika anda yang memulakan dahulu perkenalan. Cuba mulakan langkah pertama dan membiasakannya. Perasaan malu akan berkurangan dan hilang. Jika perlu mintalah bantuan.
Kepada siapakah yang saya boleh minta bantuan?
•Keluarga
•Kawan-kawan
•Guru
•Kaunselor
•Psikologi
•Guru yang mengajar ilmu kebatinan
Capaian berkaitan:
•Ketegasan
•Kemahiran berkomunikasi
•Membuat keputusan
•Fahami personaliti anda
•Kemahiran berunding
•Pemikiran positif
•Penyelesaian masalah
•Ketenangan
•Pengurusan stres
Assalamualikum dan Salam Sejahtera... "~Make CHANGE for our FUTURE~ :-)asif jiddan ala kulli hal~"
Thursday, March 11, 2010
BERSEDERHANA dalam semua PERKARA dan URUSAN
Adapun dua kaki hendaklah diguna sepenuhnya untuk metasusila dalam memperkukuh persahabatan. Waspada agar tidak melangkah unuk ke hadapan, kecuali sekadar mana peluang yang diberi untuk berbuat demikian. Jangan gunakan kaki untuk tujuan duduk rapat dengan seseorang, kecuali setakat mana kesempatan yang diberi untuk berbuat demikian. Apabila kawan dikenali atau siapa saja yang datang, hendaklah segera bangun berdiri tanda hormat mengalu-alu dan selamat datang keatas kehadirannya. Duduklah dengan tawaduk dimana sahaja diberi kesempatan duduk. Berbeza dengan duduk atas urusan ALLAH SWT pada saf dalam masjid yang mempunyai fadilat tertentu, tuhan yang mengatur cara dan kaedahnya iaitu dituntut duduk di masjid pada saf pertama dihadapan. Setelah penuh saf pertama, baru bina saf yang kedua dan seterusnya. Ditegah duduk pada saf belakang sedangkan saf hadapan masih belum penuh. Dilarang pergi ke saf hadapan dengan melangkahi bahu orang yang duduk di masjid. Cara mengatasinya ialah penuhkan dahulu saf hadapan. Pada bahagian akhir, mengenai adab dan tatasusila dalam bergaul serta duduk bersama semajlis,menghadapi pelbagai perangai dan tabiat manusia, seperti yang dijelaskan oleh firman ALLAH SWT yang bermaksud: “katakanlah (hai Muhammad ): “Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing.” Maka tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya.” ( Surah Al-Israa ayat 84 ). Termasuk dalam pengertian ‘keadaan ‘ disini ialah tabiat dan pengaruh alam sekitarnya. Walaupun ada pendapat mengatakan bahawa di dunia ini terdapat tujuh orang yang serupa, namun pada hakikatnya hanya serupa dari segi rupa sahaja. Tidak dari segi perangai dan wataknya. Ia tetap berbeza dari segi kefahaman akidahnya seperti yang dinyatakan pada ayat diatas itu. Oleh kerana manusia keadaannya yang pelbagai , maka cara berbincang juga dengan kaedah yang berbeza. Mengatasinya ialah dengan bercakap secara umum sahaja. Sebahagian daripada adab duduk bersama semajlis, menurut sebahagian orang bijak pandai islam, jika seseorang hendak bercampur gaul dan cara baik dengan pelbagai golongan, hendaklah perlihatkan wajah berseri sama ada terhadap kawan ataupun lawan. Ini kerana wajah berseri jika diperlihatkan kepada kawan mereka akan lebih tertarik dan mudah menerima pandangan atau nasihat, jika kepada musuh mereka akan berasa malu, kerana segala gerak geri manusia itu dikemudi oleh hatinya, wajah senyum berseri adalah bayangan hati yang murni. Hendaklah perlihatkan yang seseorang itu mempunyai harga diri, tetapi tidak sampai kepada membesar diri (takkabur). Di samping itu perlihatkan juga sikap merendah diri (tawaduk), tetapi tidak sampai terjerumus ke lembah menghina diri, kerana ia haram disisi islam. Untuk menghadapi segala aktiviti kehidupan hendaklah seimbang iaitu secara sederhana (wasato) sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermasud: “Sebaik-baik urusan ialah secara sederhana(seimbang)”. Misalnya berhadapan masalah harta kekayaan, sama ada manusia bersikap ‘boros’ (israf ) bebelanja tanpa batasan. Lawannya ialah sikap ‘kedekut’ (bakhil )atau dengan bahasa mudah sebagai ‘gengam tidak tiris’. Di antara kedua sifat buruk ‘boros dan kedekut’ itu ialah murah hati. Ada ketika dia boros dan ada masanya dia kedekut, jika pada perkara yang baik seperti untuk bina masjid dan seumpamanya dia bersikap pemurah. Tetapi pada perkara yang buruk atau maksiat dia kedekut. Walau setengah sen pun dia tidak akan beri kepada perkara yang mendatangkan dosa(maksiat). Begitu juga masalah sikap ‘berani’ menjadi terpuji jika bertindak di atas kadar sederhana, tetapi ia akan menjadi sifat negatif jika berani secara ‘membabi buta’. Disebalik sikap berani ialah pengecut, diantara dua sikap itu ialah berpandukan kepada nasihat agama iaitu sebtiasa bersikap sederhana(seimbang) dengan segala pekerjaan dan urusan. Bersikap sederhana dalam semua perkara sama ada dalam masalah berbelanja atau masalah perangai dan tingkah laku mestilah dalam keadaan sederhana sepanjang masa. Begitu juga bagi Nabi s.a.w. semestinya bersikap sederhana sebagaimana ajarannya yang dianjurkan kepada umatnya. Tetapi dalam perkara kebaikan Nabi s.a.w. lebih sedikit daripada sederhana cenderung kepada pemurah, sesuai sifatnya sebagai pemimpin ummah. Nabi s.a.w. dalam masalah harta benda terutamanya pada bulan Ramadhan sebagaimana yang diriwayatkan: Adapun Nabi s.a.w terlalu pemurah terutamnya pada bulan Ramadhan, laksana dedaun kering yang berguguran oleh tiupan angin taufan kencang. Apakah hikmahnya anjuran supaya hidup bersederhana kerana di kiri kanan sifat sederhana itu ialah perangai tercela yang dimurkai Tuhan. Jika sederhana dalam hal harta benda, di kiri kanannya ialah boros dan kedekut. Jika sederhana dalam sifat berani ialah boros dan kedekut. Jika sederhana dalam sifat berani ialah berani membabi buta dan pengecut. Kedua sikap negatif dalam semua perkara itu memang dimurkai Tuhan.(dipetik dari MAUIDZAH Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat).
MEMBANTU sebelum seorang SAHABAT meminta PERTOLONGAN
Dalam surah An-Nur ayat 61 menjelaskan bahawa tidak ditegah memasuki rumah dan makan, terhadap begitu banyak rumah golongan tersenarai yang dijelaskan oleh ALLAh SWT. Termasuk golongan ‘shodiq’ yang beerti kawan rapat, yang saling mempercayai dan membenarkan antara satu sama lain. Termasuk pihak yang diharuskan memasuki rumahnya, mereka saling tidak meragui apa jua yang diperkatakan oleh kedua-dua pihak di kalangannya. Begitu juga rumah yang kamu diberi kepercayaan memegang kuncinya, kerana hanya sahabat yang dipercayai sahaja diberi menyimpan kunci rumahnya. Situasi itu bukti perhubungan antara kedua-dua sahabat amat erat. ALLAH SWT mnurunkan ayat 61 surah An-Nur itu, kerana pada ketika itu walaupun berkawan rapat. Namun mereka merasa tidak sampai hati untuk makan di rumah sahabatnya lantaran takwa, justeru itu hingga ayat 61 surah An-Nur diturunkan. Ayat tersebut juga mengizinkan kepada umat islam untuk makan minum, dengan senang hati di rumah di rumah sahabatnya yang bertaraf ‘shodiq’ dan dirumah orang yang beri kepercayaan memegang kunci rumahnya. Meskipun merek tiada dirumah di rumah, namun tidak merasa bimbang akan dimurkai oleh ALLAH, kerana terdapat golongan yang diberi kelonggaran. Lantaran mereka termasuk di bawah persaudaraan, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 61 surah An-Nur itu. Setelah dinyatakan peranan harta benda dan hubungan dalam persaudaraan, yang bertaraf ‘shodiq’ dan kepercayaan itu. Kini dinyatakan pula peranan khidmat tenaga dalam hubungan persahabatan. Jangan biarkan sahabat dengan tidak mengambil peduli susah senang kehidupan mereka. Tolong bantu dengan tenaga serta jiwa raga, bagi mengatasi kesempitan dan keperluan hidup sahabatnya, seperti yang dituntut oleh Islam. Menilai keperluan dengan usaha kajian sebelum sahabatnya meminta sesuatu. Apabila diamalkan kepedulian tinggi di kalangan masyarakat, dengan sendiri tidak wujud dengki khianat dan perbalahan sesama mereka. Satu antara perkara utama yang perlu dilakukan ialah; tunaikan hajat saudaranya lebih dahulu sebelum daripada menunaikan keperluan sendiri. Perkara tersebut tidak keberatan bagi mereka yang ALLAH SWT kurniakan rezaki lebih sebagai orang berada, amat wajar mereka melakukan ajaran tersebut. Menunaikan hajat orang lain dengan tenaga serta jiwa raga mempunyai darjat (peringkat), sebagaimana menyempurna hajat sahabatnya dengan harta benda. Paling rendah darjat persahabatan mereka ialah ; menyempurnakan ketika sahabat karib telah datang menyatakan hajatnya. Keperihatinan terhadap saudaranya dapat dilihat apabila ahli yang beristiqamah di masjid,tiba-tiba orang berkenaan tidak kelihatan berjemaah pada suatu waktu. Menyebabkan orang yang tinggi rasa keperihatinan segera menyelidik tanya; apakah keuzuran sahabat itu hingga tidak hadir solat berjemaah. Sebaik mengetahui nya dia lebih dahulu menziarahinya jika sahabatnya itu ditimpa sakit, sebelum pihak lain memberitahunya. Dialah individu terawal membantu jika sahabatnya hadapi masalah pada diri dan keluarganya. Jika seseorang memiliki kudrat untuk memberi pertolongan, sepatutnya pertolongan diberikan sebelum sahabat menyatakan hajatnya. Pertolongan diberikan secara rela hati dengan ceria serta wajah manis dan gembira, merasa bertuah atas kehadirannya. Ini kerana berpeluang untuk mendapat pahala, bukan kerana malu atau keadaan terpaksa. Tetapi kerana orang itu telah datang minta bantuan. Sebahagian alim ulama menyatakan; bahawa apabila sesorang menemui sahabatnya untuk mohon disempurnakan sesuatu hajatnya, sayangnya mereka tidak menunaikan hajt tersebut. Ketika itu hendaklah diperingatkan dia untuk kali kedua mungkin dia terlupa. Andainya diberi peringatan kedua dia mengabainya juga bererti jiwanya telah mati. Apa ertinya hdup bersama dalam masyarakat, jika mengabaikan budaya bertolong bantu sesama ahli masyarakat. Justeru itu wajar didoakan ke atasnya semoga ALLAH hidupkan jiwanya yang telah mati, agar dapat bertemu seterusnya dalam situasi berkebajikan. Alim ulama zaman silam ada yang ambil berat tengtang nasib balu adik beradiknya, walaupun saudaranya telah mati 40 tahun dahulu. Saban hari ulama berkenaan masih ulang alik, untuk ambil tahu bagi mengatasi segala keperluan hidup keluarga balu adik beradiknya. Orang itu bertanyakan khabar setiap hari, tengtang makan minum serta masalah, orang lain tidak menyedari meskipun meskipun telah berpuluh tahun dilakukanya. Dengan car begitu nampaklah simpati serta kasihan belas, seseorang terhadap saudaranya yan telah meninggal dunia. Jika tiada simpati dan kasihan belas terhadap saudara atau sahabatnya, maka tiada kebajikan seseorang itu bersaudara atau bersahabat. Ia terjadi lantaran pengetahuan agamanya amat sempit, mereka jarang bertemu dengan peristiwa begini dalam masyarakatnya. Seolah-olah persahabatan dan ukhwah islamiah tidak wujud dalam kehidupan bersama, akhirnya masyarakat punah ranah dan hidup dalam situasi nafsi nafsi. Segalanya mendedahkan masyarakat umat islam kian jauh daripada semangat hidup beragama. (dipetik dari MAUIDZAH Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat)
Tuesday, March 9, 2010
Semua BALA dianggap RINGAN kecuali PUTUS PERSHABATAN
Ketahuilah bahawa bukan tanda taat setia kepada kawan dengan menyutujui mengenai perkara yang menyalahi kebenaran islam, bahkan wajib kamu tentang kebatilannya dan nasihatilah kerana ALLAH Taala, agar dia tidak meneruskan tindakannya yang bercanggah dengan agama. Sebahagian daripada tanda iklas dan benar dalam bersahabat ialah amat gelisah hati, apabila tidak sehaluan dalam perkara yang boleh menyebabkan berbalah(mufaraqah) antara kedua pihak yang bersahabat. Sempurna kesetiaan dalam persahabatan iaitu tunjukkan rasa dukacita sangat andainya terpaksa mufaraqah denganya. Sedaya mungkin elakkan putus hubungan dengan sahabat. Seperti dinyatakan oleh syair arab yang bermaksud :“Didapati segala bala yang menimpa pada sepanjang masa semuanya ringan untuk ditanggung, kecuali apabila terpaksa putus hubungan dengan sahabat yang rapat dan disayangi”. Dalam persahabatan sedaya mungkin elakkan daripada berlaku putus hubungan(mufaraqah), kerana perkara itu amat berat ditanggung oleh orang yang mengaanggap amat penting persahabatan. Seorang alim bergelar Ibnu Uyainah apabila membaca syair tersebut lalu berkata: “ sesungguhnya aku mempunyai sahabat setia yang telah 30 tahun tidak bersua dengannya. Meskipun telah begitu lama namun hasrat dan keluhanya belum hilang dari hatiku, jangankan tutur kata dan budi bahasanya yang manis dan indah makin sukar untuk dilupakan”. Sebagai tanda taat setia dengan sahabat; jangan cepat percaya acuman manusia perkara negatif terhadap sahabat itu, lebih baik jika bertanya secara langsung dengan dirinya sendiri untuk mendapat penjelasan bagi elak sebarang kemungkinan buruk. Begitu juga sesetengah daripada tanda taat setia kepada sahabat ialah elakkan daripada berkawan dengan musuh kepada sahabat kita itu, kerana perbalahan itu mesti mempunyai punca tertentu. Sedangkan islam mengajar manusia agar bersahabat hanya dengan orang yang salih. Bagaimanapun wajar bertemu dengan seteru sahabat kita andainya berhasrat mencari jalan untuk mendamaikannya, sekiranya dipersetujui oleh sahabat kita itu. Jika tanpa pesetujuan sahabat dikhuatiri akan melebarkan jurang permusuhan mereka berdua. Imam Syafie r.a berkata:” Apabila sahabatmu taat dan percaya kepada kata-kata seterumu,beerti kedua-duanya berkongsi untuk bermusuh denganmu. Justeru itu dalam persahabatan hendaklah waspada terhadap anasir yang boleh meluaskan lagi medan permusuhan, andainya terjadi perkara yang negatif akan hancurlah nilai persahabatn yang dibina selama ini. Adab dalam pershabatn seterusnya ialah perkara memandang ringan, usah mengada-ngada sehingga menyusahkan kawan-kawan. Elakkan daripada membuat sesuatu yang menyusahkan mereka kerana persahabatan kita. Dianggap tidak bijak dalam melakukan sesuatu urusan dalam persahabatan yang terjalin, jangan bebankan sesuatu tugas yang musyaqqah buat dirinya. Mungkin kerja itu dilakukan kerana kesan pengaruh orng yang menyuruh itu adalah gurunya atau sahabatnya. Bahkan menjadi kewajipan apabila bersahabat sayogia melapangkan jiwanya, agar dia merasa jiwa segar bersahabat dengan kita. Orang rasa gembira dan bahagia bersahabat dengan kita, sama ada kerana kesantunan budi bahasa atau sumbangan harta benda kita. Biarlah seseorang itu lega jiwanya apabila bersahabat dengan kita. Jika sepanjang masa bersahabat saling tidak merasa tenang jiwa walau sekali, ertinya kita gagal dalam mengharung persahabatan. Ini kerana tidak berjaya saling mendamaikan jiwa masing-masing. Setiap orang jika berkawan baik murid dengan guru atau kawan sepejabat hendaknya orang merasa senang ketika kita ada bersama mereka, sebaliknya merasa pilu dan rawan dengan ketiadaan kita bersamanya. Jika suasana demikina wujud bererti persahabatnnya berjaya. Oleh itu jangan sekali kali kamu memberatkan orang atas nama persahabatan, seboleh-bolehnya manusia semuanya merasa senang dan gembira belaka dengan kehadiran kita. Salaing bantu membantu atas jalan kebenaran serta takwa dan tidak saling bantu membantu atas kejahatan, seperti yang ditegaskan oleh ALLAH SWT dalam surah Al Maidah ayat 2. Erti kasih kerana ALLAH SWT ialah minta tolong sahabat memperbaiki agama kiat dan begitu juga sebaliknya, saling ingat mengingati misalnya; hulurkan kain apabila masuknya waktu solat fardhu, terhadap kawan yang kurang ambil berat tentang mustahaknya solat pada awal waktu. Usah dijadikan dalih tidak solat berjemaah di masjid atau musolla kerana tetamu datang ke rumah, sewajarnya beri tunjuk ajar kepada sahabat yang bertamu kerumah dalam perkara yang mustahak, supaya dia dapayt manfaat daripada persahabatan dengan kita. Bersahabat selain hendak tumpang agama dan senang hati apabila berjumpa, juga untuk tumpang rapat(taqrrub) dengan ALLAH SWT, semoga tercapai hajatnya kerana dia seorang yang salih dan bertakwa. Berkata setengah ualama:"Kalau meminta sesuatu yang tidak munasabah daripada sahabat bererti telah menzalimi dirinya. Sesipa yang tidak meminta sesuatu daripada sahabatnya,hakikatnya dia telah berbudi kepada sahabatnya"... (dipetik dari MAUIDZAH Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat)
Subscribe to:
Posts (Atom)

