Thursday, February 17, 2011

Salam Maulidur Rasul...

Assalamualaikum dan Salam sejahtera…
Bersyukur kita kehadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya dapatlah saya menulis di blog saya ni. Hari ini kita masih lagi diberi keizinan oleh ALLAH untuk terus menghirup udara yang nyaman ini dan meneruskan kehidupan kita. Sesungguhnya marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran kita kepada ALLAH diatas segala nikmat dan rahmatNya kepada kita hambanya. Dan sebagai hamba, maka seharusnyalah kita melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala laranganNya. Jangan hanya kita mengakui yang kita ini hamba ALLAH S.W.T tetapi dalam masa yang sama kita menolak ISLAM dalam keadaan kita tidak sedar dan yang paling nyata adalah kita tidak menjalankan dan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh ALLAH S.W.T bahkan kita melakukan apa yang dilarang oleh ALLAH S.W.T kepada kita. Seperti tulisan saya yang lalu, kebanyakan kita hari ini hanya ISLAM apabila nak kahwin, hari Raya dan mati sahaja yang lain kita bebas dan boleh lakukan mengikut kehendak hawa nafsu kita. Bodohnya mereka yang berfikiran begitu, ini kerana mereka terlalu mengikut barat dan mengambil budaya barat sebagai cara hidup. Apa lah nak jadi????mereka terus bodoh dan berada dalam kesesatan dan dalam masa yang sama mengajak orang lain untuk terus berada dengan mereka. Inilah yang dikatakan dunia akhir zaman. Bermacam-macam yang berlaku dalam dunia hari ini yang mana menunjukkan tanda-tanda awal kiamat. Tak perlulah kita pergi jauh untuk lihat dunia, cukuplah kalau kita tengok Negara kita yang tercinta MALAYSIA…kita tengok dan fikirkanlah…
Pada bulan ini kita menyambut Maulidur Rasul iaitu hari kelahiran Rasulullah s.a.w. Sesunguhnya memperingati Rasulullah s.a.w adalah satu ibadah. Bukanlah kita hanya perlu ingat pada Rasulullah s.a.w. pada bulan ini sahaja bahkan pada setiap saat dan ketika kita harus ingat pada Rasulullah s.a.w. Sebagai umat ISLAM, kita harus meletakkan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w lebih dari cinta kita pada diri kita sendiri, pupuklah diri kita agar mencintai Rasulullah s.a.w lebih dari cinta kita pada yang lain-lainnya. Maka sempena dengan Maulidur Rasul ini saya selitkan sedikit sebanyak sirah Rasulullah s.a.w. yang dapat saya cari dan tuliskan, semoga ia berguna untuk kita semua…insyaallah..
Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh ALLAH yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu rahmat kepada manusia sekalian alam. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin, ketua tentera dan juga sebagai pendamai. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan di Mekkah dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Nabi Muhammad s.a.w merupakan rasul dan nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad s.a.w merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s
Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:

"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
Nabi Muhammad s.a.w telah diputerakan di Mekah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun Gajah. Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Nabi Ismail a.s, anak kepada Nabi Ibrahim a.s kira-kira dalam keturunan keempat puluh.
Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Mekah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).
Dalam masa remajanya, Nabi Muhammad s.a.w percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para ibu tunggal dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.
Ketika berusia kira-kira 25 tahun, ayah saudara baginda menyarankan baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria). Baginda mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan keuntungan luar biasa.
Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda. Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia. Mereka dikurniakan 7 orang anak (3 lelaki dan 4 perempuan) tetapi ketiga-tiga anak lelaki mereka, Qasim, Abdullah dan Ibrahim meninggal semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah az-Zahra. Khadijah merupakan satu-satunya isterinya sehinggalah beliau meninggal pada usia 51 tahun.
Itulah sedikit sebanyak yang dapat saya berikan dan kongsikan. Sebenarnya banyak lagi kisah dan perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w untuk kita dan saya kongsikan yang mana semuanya dapat kita ambil sebagai pedoman hidup kita. Insyaallah…SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL…

No comments:

Post a Comment