Thursday, October 13, 2016

Dakwah Siber : Apakah kita mengambil peluang yang terbuka

Ledakan teknologi komunikasi pada ketika ini, membawa fenomena baru apabila ianya tertumpu kepada penggunaan media sosial dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah aktiviti dakwah. Justeru, penggunaan media sosial seperti facebook, whatsapps, instagram dan twitter, dilihat memberi peluang yang meluas terhadap penyebaran mesej dakwah kerana sifatnya yang pantas dan lebih global. Dilaporkan bahawa kini terdapat lebih 500 juta pengguna facebook dan lebih 100 juta pengguna twitter di seluruh dunia. Di negara kita direkodkan lebih 12 juta rakyat di negara ini mempunyai akaun facebook, majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita berkewajipan sebagai komunikator Islam, iaitu berperanan sebagai seorang daei, dan diletakkan tanggungjawab di peringkat wajib menyampaikan mesej mengikut kadar keupayaan. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 25:

Maksudnya:(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa member petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya)ke jalan yang betul lurus(yang selamat itu).

Ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menyeru manusia supaya patuh dan taat kepada-Nya agar memperoleh tempat yang selamat iaitu syurga. Oleh itu, dengan cara berdakwah dapat mengajak kepada seluruh manusia agar berbuat baik dan mematuhi segala perintah Allah SWT. Sehubungan itu, dalam usaha ini, ianya perlu bergantung kepada medium yang tertentu mengikut peredaran zaman.
Oleh itu, kemunculan media baru khususnya media sosial pada masa kini dilihat sebagai satu wadah penting untuk berdakwah. Al faqir disini ingin menyatakan bahawa usaha dakwah melalui internet perlu diperluaskan seiring dengan penggunaan media tradisional. Ini kerana penyampaian mesej dakwah itu, boleh merentasi sempadan seterusnya mampu mensasarkan kepada segenap lapisan bangsa. Melalui penggunaan media, pelbagai keperluan semasa umat Islam dapat dicurahkan mengikut citarasa semasa yang sesuai dengan ajaran Islam dan yang sentiasa menjadi alternatif umat Islam sekarang. Dengan itu, penggunaan media dalam Islam seharusnya lebih menekankan konsep ketaqwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan kehidupan.

Al faqir ingin menyatakan bahawa media sosial, ibarat seperti sebilah pisau yang dapat memberi kebaikan, dan dalam masa yang sama dapat mendatangkan kemudaratan. Justeru, kadang kala dalam keghairahan ini, kita lupa akan batas-batas agama serta dosa dan pahala sehingga kita sanggup melanggari prinsip-prinsip Islam dengan menjatuhkan, mendedahkan keaiban seseorang termasuklah melakukan fitnah. Dan yang lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup mencipta berita, dokumen, gambar palsu dan disebarkan untuk tujuan tertentu. Al faqir disini ingin berpesan kepada diri al faqir dan saudara Islam sekalian bahawa sebagai seorang Islam yang takutkan Allah dan percayakan hari akhirat kita hendaklah menjaga akhlak dan adab-adab kita ketika menggunakan media sosial. Ingatlah, niat tidak boleh menghalalkan cara sebagaimana yang disarankan dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 11:

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak(dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan yang mencemuh dan merendah-rendah puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebik baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah menggunakan media sosial berdasarkan kepada prinsip dakwah yang telah digariskan Islam. Beberapa prinsip-prinsip yang perlu ada pada diri seorang Islam antaranya ialah, 

Pertama: Janganlah merendahkan dan mencaci maki orang lain, kerana Allah SWT lebih mengetahui siapa yang lebih baik antara kita, 

Kedua: Jangan mendedahkan keaiban seseorang atau menyebarkan keburukan, kerana perkara ini dilarang oleh agama, malah Allah SWT menempelak golongan yang suka mendedahkan aib orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”(Riwayat Muslim)

Ketiga: Janganlah menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk kerana ianya boleh mendatangkan dosa dan membawa kepada kefasikan. 

Keempat: Janganlah menjadi egen penyebar fitnah dan berita palsu serta jauhilah dari berprasangka buruk kerana ianya mendatangkan dosa. Seandainya sesuatu berita itu sampai kepada kita, hendaklah disemak dahulu kesahihannya. 

Kelima: Jangan mencari kesalahan orang lain. Ingatlah bahawa Islam menyuruh mencegah kemungkaran seiring dengan suruhan melakukan kebaikan. 

Keenam: Menjaga tutur bicara agar tidak mendatangkan kemarahan orang lain. Kegagalan kita mematuhi keenam-enam prinsip di atas dikhuatiri akan mendedahkan diri kita kepada dosa antara sesama manusia yang berterusan. 

Sesungguhnya segala tutur bicara kita di dunia ini di bawah perhitungan Allah SWT dan akan dibentangkan di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49:

Maksudnya: Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya). dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.


Kebebasan dalam Islam bukanlah secara mutlak. Sebagai agama yang syumul, Islam telah menetapkan apa yang boleh dan tidak, apa yang harus dan makruh, apa yang halal dan haram. Ingatlah bahawa kebebasan dalam Islam bergantung kepada rasionalisasi dan kepercayaan. Oleh itu sebagai orang yang beriman, hendaklah bertanggungjawab di atas setiap berita yang disampaikan, agar ianya tidak mendatangkan pendustaan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencela, dan sebagainya. Lebih-lebih lagi ianya menjadi punca berlakunya kekacauan, perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat. Bayangkanlah, apakah yang akan berlaku kepada agama Islam dan negara tercinta jika amalan fitnah dan pembohongan menjadi medium utama dalam media massa, media cetak dan sebagainya.
Maka seharusnya kita gunakanlah media sosial untuk tujuan dakwah dan perkara-perkara kebaikan. Bercakap perkara benar atau lebih baik berdiam sahaja kerana itu lebih memberi manfaat. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
Siapa beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hal ini sebagai contoh, jika 100 orang umat Islam dapat menerbitkan artikel mengenai Islam dari pelbagai perspektif dan disiplin ilmu dan menyebarkannya di laman media sosial, kemungkinan jumlah pembaca 100 makalah ilmu tersebut akan mencecah ribuan malahan jutaan. Bayangkan betapa luasnya penyebaran dakwah dapat dicapai tanpa mengeluarkan kos, hanya bersandarkan usaha melalui hujung jari sahaja. Inilah sebahagian dari maksud hikmah dalam berdakwah. Menurut Sheikh Muhammad Ali al-Sabuni di dalam Safwat al Tafasir, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela. Bersesuaian dengan itu, menggunakan media sosial sebagai alat dakwah melalui perkongsian ilmu, perbincangan ilmiah, peringatan dan nasihat secara berhemah, bijaksana dan menarik di dalam blog, facebook dan twitter merupakan salah satu usaha dakwah yang berhikmah.

Sesungguhnya kehidupan bermasyarakat dan bernegara hendaklah berteraskan nilai-nilai akhlak dan nilai budaya yang bertamadun. Renungkanlah, berapa ramaikah antara kita yang sentiasa bermuhasabah tentang kehidupannya. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan dan ucapan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa disebabkan keghairahan kita untuk melayani pelbagai karenah melalui media massa. Setiap apa yang disebarkan dan diberitakan pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredhai Allah akan dicatat, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:


Bermaksud: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)

Sekian, terima kasih.

~selamat membaca~

Wednesday, September 28, 2016

Pelampau Agama : kesan dan Bahayanya pada Ummah

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 112:

Maksudnya: Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

Yakinlah bahawa keamanan adalah satu perkara yang sangat penting di dalam kehidupan manusia samada di peringkat individu atau masyarakat demi kebaikan umat sejagat. Dalam sejarah ketamadunan manusia sendiri telah menunjukkan betapa nikmat keamanan memberi kesan untuk kemakmuran dunia. Keamanan bererti kita bebas dari bahaya, bebas daripada kejahatan, kecelakaan dan lain-lain. Ini termasuk keamanan dalam aspek kenegaraan, kekeluargaan, sosioekonomi dan sebagainya.
Justeru, Islam menolak keras segala gerakan yang boleh menggugat keamanan dalam apa jua bentuk termasuklah yang dibawa oleh pelampau agama. Soal ancaman gerakan pelampau agama ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak kerana ia membabitkan masalah keselamatan rakyat. Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi, pasti akan jatuh sesebuah bangsa dan huru-hara negara. Sebagai negara demokrasi yang mengamalkan cara hidup toleran kepada pelbagai pandangan agama, budaya, kaum, politik, ideologi dan seumpamanya. Tetapi pada masa sama, rakyat tidak berhak untuk menjadi pelampau dalam pegangan mereka hingga mendorong kepada tindakan ganas bagi memaksa orang lain menerimanya. Ingatlah pesan Rasulullah SAW di dalam sebuah hadithnya yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :Berhati-hatilah dengan pelampau agama.Orang dahulu telah binasa, mundur disebabkan sikap melampau dalam beragama.Dan sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: Janganlah terlalu menyusahkan diri kamu. Sesungguhnya orang dahulu dari kamu menimpa kebinasaan kerana sikap melampau dan menyusahkan diri mereka sendiri. Saki baki mereka ini masih lagi boleh didapati di tempat ibadah (Riwayat at-Tabari). Menurut pandangan Prof Dr Abdul Muin Salim dalam kitabnya Fiqh al-Siasah menjelaskan bahawa: Mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam sesebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak peranda seterusnya mengundang kepada mudharat kepada orang awam hukumnya adalah haram.

Persoalan besar timbul ialah kenapa masih terdapat segelintir manusia yang berpegang kepada prinsip pelampau agama ini?. Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya bahaya pelampau agama menyatakan beberapa punca yang dianggap mereka ini melampau ialah, pertama: taksub dengan pendapat tertentu dengan terlalu rigid dan jumud, kedua: Suka mengerjakan yang susah dan memaksa orang lain juga melaksanakannya, ketiga: melampau yang tidak kena pada tempatnya, keempat: keras dan ganas, kelima: sangkaan buruk kepada orang lain dan keenam kecenderungan kafir mengkafir. Justeru, sebagai umat Islam yang beriman kita hendaklah menolak segala punca yang menyebabkan terjadinya fahaman pelampau ini yang boleh menggugat  keamanan dan keselamatan negara. Yakinlah, bahawa segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah kita di jalan Allah SWT. Tariklah nafas kesedaran dan ingatlah..ingatlah didalam hati dan pasakkanlah didalam jiwa dan fikiran kita, peliharalah dan pertahankanlah keamanan yang sedang kita nikmati saat ini kerana sesungguhnya ia terlalu tinggi nilainya dan terlalu didambakan oleh saudara seagama kita yang tinggal di negara-negara lain yang bergolak. Inilah masanya, semua umat Islam dalam negara mesti bersatu berdasarkan segala kemampuan yang ada dan wajib menolak sebarang usaha dari mana- mana pihak yang cuba menghancurkan keamanan negara ini. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anaam ayat 82:

Maksudnya: “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.”.


Berdasarkan kepada sejarah, negara kita telah berdepan dengan beberapa siri ancaman keselamatan bermula dengan ancaman pengganas komunis semasa darurat dan kemunculan beberapa kumpulan militan seperti kumpulan tentera sabilillah, kumpulan Nasir Ismail, al-Maunah dan lain-lain lagi yang kesemuanya menuntut berlakunya peperangan dan pertumpahan darah serta nyawa. Hari ini sekali lagi negara kita dikejutkan dengan ancaman keselamatan iaitu gerakan kumpulan militan Daulah Islamiah atau dikenali sebagai Islamic State (IS). Kumpulan ini cuba menyebarluas pengaruhnya untuk merekrut khususnya anak-anak muda bagi menyertai atas dasar jihad. Berdasarkan kepada laporan yang diterima penularan pengaruh IS dalam negara kita dilihat semakin meluas terutamanya melalui media sosial seperti facebook, Instagram, Youtube dan Twitter bagi mendapat sokongan.
Pemantauan yang dibuat mendapati sebilangan kecil rakyat di negara ini berminat untuk ke Syria dan Iraq atas dasar jihad dan peperangan di akhir zaman serta keinginan untuk mati syahid. Mereka membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam, mereka juga menghalalkan tindakan yang lebih agresif dan kemusnahan harta benda walaupun melibatkan hak saudara seagama mereka sendiri. Bayangkanlah..sanggupkah kita hidup dalam keadaan yang huru hara, berperang sesama sendiri, bunuh berbunuhan dan suasana yang kacau bilau? Fikir-fikirkanlah.Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah menolak segala usaha untuk menyebarluas gerakan kumpulan ini. Percayalah bahawa gerakan kumpulan IS bertentangan dengan prinsip ahlu sunnah wal jamaah dan ajaran Islam serta prinsip jihad yang sebenar. Allah SWT telah memberi peringatan ini seperti mana firman-Nya di dalam surah Ali Imran ayat 142:

Bermaksud: Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah orang yang berjihad di antara kamu, dan belum lagi nyata orang yang sabar, tabah dan cekal hati dalam perjuangan?

Suka saya tegaskan disini, janganlah kita menjadi seorang muslim yang mendatangkan fitnah pada Islam itu sendiri. Janganlah kita menyalah tafsirkan makna jihad itu sehingga menyebabkan kita umat Islam dilihat dimata dunia sebagai umat  pelampau dan pengganas. Apa yang pasti adalah Islam sememangnya agama menolak segala bentuk keganasandan peperangan tetapi menjurus ke arah keamanan dan kesejagatan umat manusia keseluruhannya. Namun, kesan daripada tindakan golongan-golongan pelampau agamayang melakukan siri keganasan yang banyak menimbulkan kemusnahan kepada umat manusia menyebabkan imej Islam semakin tercalar. Hakikatnya, umat Islam mesti mencari jalan dan memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam serta memperkenalkan sistem Islam sebagai satu agama keamanan dan bukan peperangan.
Sebagai umat Islam kita hendaklah meningkatkan ukhwah Islamiah serta mengingatkan bahawa sejarah kemakmuran negara adalah berlandaskan kepada keamanan dan toleransi antara kita. Inilah negara kita..negara yang akan kita wariskan kepada anak cucu dan keturunan kita. Oleh itu, janganlah sesekali kita biarkan golongan-golongan pelampau ini menghancurkannya. Marilah sama sama kita perkukuhkan cinta kepada Allah dengan ikhlas berjuang menegakkan agama Allah, syariat Allah dan memperbanyakkan amal soleh supaya kita terus berjuang di jalan Allah dan dimasukkan golongan yang berjuang fi-sabilillah. Sebagai penutup perbincangan kita, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 190:

Maksudnya:Dan perangilah kerana agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh.

Sekian. terima kasih.

Selamat membaca...

Thursday, September 22, 2016

Hakikat Jihad...dimana kita?

Keamanan adalah satu perkara yang sangat penting di dalam kehidupan manusia samada di peringkat individu atau masyarakat demi kebaikan umat sejagat. Dalam sejarah ketamadunan manusia sendiri telah menunjukkan betapa nikmat keamanan memberi kesan untuk kemakmuran dunia. Keamanan bererti kita bebas dari bahaya, bebas daripada kejahatan, kecelakaan, dan lain-lain. Ini termasuk keamanan dalam aspek kenegaraan, kekeluargaan, sosio ekonomi dan sebagainya. Keamanan membawa banyak kebaikan dan rezeki kepada manusia serta negara. Manakala perpecahan membawa kemelaratan dan kesengsaraan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 112:

Maksudnya: Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

Justeru, Islam menolak keras bentuk gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan untuk menggugat keamanan negara. Soal ancaman gerakan pelampau ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak kerana ia membabitkan masalah keselamatan rakyat. Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi, maka akan jatuh sesebuah bangsa dan huru hara negara.
Persoalan besar timbul ialah kenapa masih terdapat gerakan pelampau yang boleh menggugat keamanan ini?. Berdasarkan kepada pemerhatian saya dan merujuk kepada beberapa rujukan yang ada, ianya ada kaitan dengan salah tafsiran hakikat dan pengertian jihad itu sendiri. Mereka memahami dengan maksud yang melampau sebagimana yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh Jihad yang telah membahagikan kepada tiga golongan mereka yang melihat isu jihad ini, antaranya golongan yang mengistiharkan perang terhadap dunia, beliau berkata: Sesungguhnya pemikiran yang sebegini mempunyai pengaruh yang buruk terutama bagi para pemuda yang mempunyai niat yang ikhlas, dengan itu mereka mengangkat senjata kepada bangsa dan keluarga sendiri sehingga mereka terbunuh. Mereka menganggap bangsa dan keluarga mereka sebagai kelompok orang kafir yang harus diperangi kerana murtad dari Islam. Golongan fanatik ini terus melemparkan tuduhan kafir terhadap orang yang bercanggah pendapat dengan mereka sehingga golongan ulama’ turut dikafirkan. Mereka tidak peduli dengan golongan tidak berdosa yang membunuh sehingga Islam dilebelkan sebagai agama kekerasan.
Saya dengan tegasnya disini,  ingin menyatakan bahawa pemahaman sebegini adalah tidak begitu tepat kerana skop dan pengertian jihad itu amat luas, bukan hanya berjuang di medan perang, akan tetapi lebih daripada itu. Di dalam kitab al-fiqh al-Manhaji ala Madzhab al-Imam asy-Syafi`i. bahawa maksud jihad itu berusaha gigih untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam dan meletakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi, seterusnya membawa syariat Allah untuk memimpin alam. Dengan ini secara keseluruhan bererti umat Islam itu perlulah mencurahkan tenaga dan usaha bagi membuang segala kebatilan bermula dengan membuang kejahatan dalam diri  dengan menolak godaan syaitan. Begitu juga di dalam kitab Riyadhus Solihin karangan Imam al-Nawawi memperincikan tentang hakikat jihad dengan menyatakan bahawa jihad yang paling utama bagi umat Islam ialah menentang hawa nafsu sendiri.
Seorang ulama’ terkenal al-Raghib al-Asfhani menyatakan bahawa jihad itu terbahagi kepada tiga perkara, pertama: berjuang kepada musuh yang nampak, kedua: berjuang menghadapi syaitan dan ketiga: berjuang menghadapi hawa nafsu dan ketiga- tiga bahagian ini terkandung di dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 78:

Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya;

Ibn Taimiah pula menyatakan jihad itu hakikatnya ialah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhai oleh Allah SWT dari segi keimanan, amal soleh dan menolak sesuatu yang dimurkai Allah dan kekufuran, kefasikan dan kederhakaan. Seorang lagi ulama’ Kamil Salamah al-Daqs menjelaskan bahawa dalam al-Quran terdapat lafaz jihad yang bermakna mencurahkan kemampuan sepenuh kekuatannya secara mutlak. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 8:

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Dengan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan..

Disini saya ingin menyatakan bahawa berdasarkan kepada takrifan yang diberikan oleh ulama’ tersebut dapatlah disimpulkan pengertian jihad di dalam agama Islam mempunyai pengertian yang lebih luas daripada peperangan, ianya meliputi seluruh aspek perbuatan manusia dalam usaha mendokong agama Allah SWT seperti menuntut ilmu, memperkasa ekonomi, menghapuskan kemiskinan, memperkukuh kesatuan ummah, memerangi nafsu dan syaitan serta memastikan umatnya mendapat kebahagian dunia dan akhirat.

Akhir-akhir ini, akibat daripada salah tafsiran mengenai hakikat jihad, maka kita dapati lahirlah gerakan radikal dan penyebaran ideolagi ekstrem. Pada hari ini kemunculan kumpulan militan Daulah Islamiah atau dikenali sebagai Islamic State (IS) akibat ketidakstabilan di negara Syria dan Iraq dilihat mula memberi kesan secara langsung terhadap keselamatan negara. Secara ringkasnya kumpulan IS ini dari segi ideologinya merupakan kumpulan pelampau yang berpegang kepada ideologi Salafi Jihadi, mereka kononnya memperjuangkan penubuhan Daulah Islamiah. Malangnya pendekatan yang dipilih adalah melalui peperangan serta mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum syariah. Kumpulan ini memberi tafsiran berbeza mengenai jihad dan menolak hakikat jihad yang sebenar yang berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah, mereka membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam, mereka juga menghalalkan tindakan yang lebih agresif dan kemusnahan harta benda walaupun melibatkan hak saudara seagama mereka sendiri.
Berdasarkan kepada laporan yang diterima penularan pengaruh IS dalam negara kita dilihat semakin meluas terutamanya melalui media sosial seperti facebook, Instagram, Youtube dan Twitter bagi mendapat sokongan serta merekrut anggota baru khususnya golongan belia bagi merealisasi agenda mereka. Pemantauan yang dibuat mendapati sebilangan kecil rakyat di negara ini berminat untuk ke Syria dan Iraq atas dasar jihad dan peperangan di akhir zaman serta keinginan untuk mati syahid.
Suka untuk saya nyatakan disini bahawa perjuangan IS untuk menubuhkan sebuah negara Islam dengan menggunakan kekerasan dan keganasan adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar dan perlembagaan negara. Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keamanan dan berpegang dengan prinsip kesederhanaan, menjadi kewajipan kepada kita untuk menolak gerakan ini. Usahlah kita terpengaruh dengan gerakan ini kerana ianya menyeleweng dari hakikat jihad yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh agama kita. Sebagai umat Islam kita hendaklah meningkatkan ukhwah Islamiah serta mengingatkan bahawa sejarah kemakmuran negara adalah berlandaskan kepada keamanan dan toleransi antara kita. Marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan dikalangan kita agar apa jua usaha untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat dihindarkan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 190:

Maksudnya: Dan perangilah kerana agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh.”

Sebagai kesimpulan yang dapat kita ambil dari perbincangan ini, saya menyeru diri sendiri dan kita semua dan seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Memahami hakikat jihad dengan meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman.

Kedua: Menghayati dengan jelas tentang fiqh keutamaan (fiqh awlawiyat) dalam membuat pertimbangan hidup yang mana perlu diutamakan dan yang mana perlu dikemudiankan.

Ketiga: Senantiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan dalam semua perkara dengan menolak segala gerakan pelampau yang boleh mengugat kesejahteraan dan keamanan.

Keempat: Mengawasi dan memantau anak-anak kita dari segenap sudut kehidupan  agar mereka tidak terpengaruh dengan gerakan yang menyalahi agama Islam yang sebenar.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 286:

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; maka tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

Sekian, terima kasih.

Selamat membaca...

Tuesday, September 6, 2016

Takdir mengatasi tadbir...ALLAH penentu segalanya...

Sebagai umat Islam yang beriman kita wajib percaya bahawa Allah SWT menentukan segalanya. Dalam menjalani kehidupan kita sebagai hamba Allah hanya mampu merancang, akan tetapi segala perancangan kita itu yang menentukan ialah Allah SWT atau dengan kata lain takdir mengatasi tadbir dan meyakininya termasuk di dalam salah satu daripada rukun Iman. Yakinlah bahawa sesuatu perkara yang telah berlaku, atau yang sedang berlaku, atau yang akan berlaku, kesemuanya adalah tertakluk di bawah takdir Allah SWT. Justeru, apa sahaja yang terjadi di alam semesta ini, semuanya berlaku dengan ilmu dan iradat Allah yang telah direncanakan oleh-Nya sejak azali mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebagaimana Firman-Nya di dalam surah al-Furqan ayat 2:

Maksudnya: “Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya; dan Dialah yang mencipta segala sesuatu lalu menentukan keadaannya dengan ketentuan takdir yang sempurna.

Ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menentukan segalanya apa yang ada di langit dan bumi, justeru sebagai seorang yang beriman, maka kita hendaklah menerima segala takdir Allah SWT dengan penuh rasa keinsafan dengan merasakan bahawa betapa lemah dan kerdilnya diri kita di sisi Allah SWT. Oleh sebab itu setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita ini ada terkandung ribuan hikmah yang sememangnya menguji tahap keimanan kita sebagai seorang hamba. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 3:

Maksudnya: Bahkan patutkah orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.

Imam Ibnu Katsir RA. menjelaskan dalam kitab  tafsirnya: “Agar dibezakan orang yang benar dalam pengakuannya dari orang yang dusta dalam ucapan dan pengakuannya. Sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah terjadi, yang sedang terjadi, dan yang akan terjadi. Allah juga mengetahui cara terjadi sesuatu bila hal itu terjadi. Hal ini adalah ijma’ para imam Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Mempercayai bahawa takdir Allah SWT mengatasi segala tadbir manusia adalah tidak sia-sia, kerana ianya mengandungi banyak hikmah dan manfaat. Justeru, saya ingin menyeru pembaca sekalian, marilah kita melihat hikmah di sebalik tersebut antaranya ialah: 

Pertama: Dapat memperkukuhkan keimanan dan ketaqwaan serta menyedari segala sesuatu yang terjadi itu telah ditentukan oleh Allah SWT. Memetik kata-kata hikmah yang pernah dilontarkan oleh Junaid al-Baghdadi bahawa: Bala dan ujian adalah pelita bagi orang yang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa ujian dengan redha dan bersabar. 

Kedua: Dapat menambahkan keteguhan hati dan kesabaran. Mereka yang memiliki keteguhan hati dan kesabaran yang tinggi tidak akan berputus asa, tindakannya selalu tenang, tanpa terburu-buru ataupun bimbang kerana mereka sedar bahawa segala takdir yang ditentukan serta segala perjalanan hidup ini adalah hak mutlak Allah SWT. Renungilah sepotong hadith Rasulullah SAW:
Bermaksud:Tidak ada satu musibahpun yang menimpa diri seorang muslim, sama ada yang berupa kesusahan,dan penderitaan,kesedihan dan kedukaaan, ataupun penyakit, bahkan kerana sepotong duri yang menyucuk kakinya (anggotanya) melainkan dihapuskan oleh Allah SWT  dengan itu sebahagian dari kesalahannya.

Ketiga: Dapat menambahkan rasa keikhlasan dalam menerima segala ketentuan Allah SWT. Perasaan ikhlas merupakan lambang kesucian dan kebersihan hati seseorang. Nilai seperti ini amat penting bagi seseorang hamba Allah SWT di dalam melaksanakan segala ibadah. Menyakini segala suratan adalah hak Allah SWT dan segala ujian kehidupan yang tidak mengenal rupa, pangkat dan keturunan serta ianya boleh hadir pada bila-bila waktu dan dari jalan yang tidak disangka-sangka, baik dengan jalan nikmat (istidraj), mahupun dengan ditimpa musibah. Dengan itu, mereka yang menerima segala takdir dengan rasa ikhlas sajalah yang mampu mengatasinya.

Keempat: Dapat mendorong agar selalu bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukur adalah satu tindakbalas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap segala yang diterima samada perkara itu baik atau buruk. Mereka yang bersyukur jiwanya akan merasa tenang dan berhak menerima pujian dari Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran 145:
Bermaksud:Dan tidak ada satu jiwapun akan mati melainkan dengan izin Allah pada waktu yang telah ditentukan. Dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan Akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan Akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang yang bersyukur.

Kelima: dapat mendorong semaksima mungkin untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Dengan mempercayai bahawa takdir Allah SWT mengatasi tadbir dapat mendorong seseorang itu berusaha untuk mencari kebahagian dunia dan akhirat. Perlu diingat, bahawa apabila kita menghadapi takdir Allah SWT, Janganlah mudah merasa kecewa dan putus asa, sebaliknya jadikannya sebagai dorongan untuk kita meneruskan kehidupan bagi mencapai kebahagiaan yang hakiki. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud:Tidak sekali kali kamu boleh mengharapkan kedatangan mati kerana suatu kesukaran yang menimpa, dan jika terpaksa mengharapkan kematian, maka hendaklah ia berkata: Ya tuhanku, berikanlah aku kehidupan, jika ia lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika ia lebih baik bagiku.”(Riwayat al-Bukhari)

Pada hari ini iaitu saat sidang pembaca melayari blog saya ini, saya menyeru semua sidang pembaca sekalian marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dalam usaha kita membina dan memantapkan keimanan kita kepada Allah SWT. Antara pengajarannya ialah :

Pertama: Menyakini bahawa kuasa Allah SWT mengatasi segalanya, walaupun sehebat mana diri kita, namun suratan kehidupan ini telah ditentukan oleh kudrat dan Iradat Yang Maha Esa. 

Kedua: Agama Islam mendidik kita agar senantiasa menghitung diri kerana ianya akan membentuk jiwa untuk melakukan amalan yang mulia. 

Ketiga: Setiap apa yang ditakdirkan oleh Allah SWT kepada hambanya sama ada kebahagiaan, kesenangan,kesengsaraan mengandungi ribuan hikmah yang tidak dapat dipersoalkan lagi. 

Keempat: Percayalah bahawa kita sebagai hamba Allah SWT hanya mampu merancang, namun yang menentukannya ialah Allah SWT. Mengakhiri perbincangan kita, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Asr ayat 1-3:

Bermaksud: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Selamat membaca....