Keamanan adalah satu perkara yang sangat penting di dalam
kehidupan manusia samada di peringkat individu atau masyarakat demi kebaikan
umat sejagat. Dalam sejarah ketamadunan manusia sendiri telah menunjukkan
betapa nikmat keamanan memberi kesan untuk kemakmuran dunia. Keamanan bererti
kita bebas dari bahaya, bebas daripada kejahatan, kecelakaan, dan lain-lain.
Ini termasuk keamanan dalam aspek kenegaraan, kekeluargaan, sosio ekonomi dan
sebagainya. Keamanan membawa banyak kebaikan dan rezeki kepada manusia serta
negara. Manakala perpecahan membawa kemelaratan dan kesengsaraan. Firman
Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 112:
Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu
misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya
yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat
Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang
mereka telah lakukan.”
Justeru,
Islam menolak keras bentuk gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan
dan peperangan untuk menggugat keamanan negara. Soal ancaman
gerakan pelampau ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak kerana ia
membabitkan masalah keselamatan rakyat. Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi,
maka akan jatuh sesebuah bangsa dan huru hara negara.
Persoalan besar timbul ialah kenapa
masih terdapat gerakan pelampau yang boleh menggugat keamanan
ini?. Berdasarkan kepada pemerhatian saya dan merujuk kepada beberapa rujukan yang ada, ianya ada kaitan dengan
salah tafsiran hakikat dan pengertian jihad itu sendiri. Mereka
memahami dengan maksud yang melampau sebagimana yang dinyatakan oleh Dr Yusuf
al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh Jihad yang telah membahagikan kepada
tiga golongan mereka yang melihat isu jihad ini, antaranya golongan yang
mengistiharkan perang terhadap dunia, beliau berkata: Sesungguhnya pemikiran
yang sebegini mempunyai pengaruh yang buruk terutama bagi para pemuda yang
mempunyai niat yang ikhlas, dengan itu mereka mengangkat senjata kepada bangsa
dan keluarga sendiri sehingga mereka terbunuh. Mereka menganggap bangsa dan
keluarga mereka sebagai kelompok orang kafir yang harus diperangi kerana murtad
dari Islam. Golongan fanatik ini terus melemparkan tuduhan kafir terhadap orang
yang bercanggah pendapat dengan mereka sehingga golongan ulama’ turut dikafirkan.
Mereka tidak peduli dengan golongan tidak berdosa yang membunuh sehingga Islam
dilebelkan sebagai agama kekerasan.
Saya dengan tegasnya disini, ingin menyatakan bahawa pemahaman
sebegini adalah tidak begitu tepat kerana skop dan pengertian jihad itu amat luas,
bukan hanya berjuang di medan perang, akan tetapi lebih daripada itu. Di dalam
kitab al-fiqh al-Manhaji ala Madzhab al-Imam
asy-Syafi`i. bahawa maksud jihad itu berusaha gigih
untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam dan meletakkan kalimah Allah di tempat
yang tertinggi, seterusnya membawa syariat Allah untuk memimpin alam. Dengan
ini secara keseluruhan bererti umat Islam itu perlulah mencurahkan tenaga dan
usaha bagi membuang segala kebatilan bermula dengan membuang kejahatan dalam
diri dengan menolak godaan syaitan. Begitu
juga di dalam kitab Riyadhus Solihin karangan Imam al-Nawawi
memperincikan tentang hakikat jihad dengan menyatakan bahawa jihad yang paling
utama bagi umat Islam ialah menentang hawa nafsu sendiri.
Seorang ulama’ terkenal al-Raghib
al-Asfhani menyatakan bahawa jihad itu terbahagi kepada tiga perkara, pertama:
berjuang kepada musuh yang nampak, kedua: berjuang menghadapi syaitan
dan ketiga: berjuang menghadapi hawa nafsu dan ketiga- tiga bahagian ini
terkandung di dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 78:
Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah
dengan jihad yang sebenar-benarnya;
Ibn Taimiah pula menyatakan jihad itu hakikatnya ialah
berusaha secara bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhai oleh
Allah SWT dari segi keimanan, amal soleh dan menolak
sesuatu yang dimurkai Allah dan kekufuran, kefasikan dan kederhakaan. Seorang
lagi ulama’ Kamil Salamah al-Daqs menjelaskan bahawa dalam al-Quran terdapat
lafaz jihad yang bermakna mencurahkan kemampuan sepenuh kekuatannya secara
mutlak. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 8:
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat
baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau
mempersekutukan Dengan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya,
maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu
kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan..”
Disini saya ingin menyatakan bahawa berdasarkan
kepada takrifan yang diberikan oleh ulama’ tersebut dapatlah disimpulkan
pengertian jihad di dalam agama Islam mempunyai pengertian yang lebih luas
daripada peperangan, ianya meliputi seluruh aspek perbuatan manusia dalam usaha
mendokong agama Allah SWT seperti menuntut ilmu, memperkasa ekonomi,
menghapuskan kemiskinan, memperkukuh kesatuan ummah, memerangi nafsu dan
syaitan serta memastikan umatnya mendapat kebahagian dunia dan akhirat.
Akhir-akhir ini, akibat daripada salah tafsiran mengenai
hakikat jihad, maka kita dapati lahirlah gerakan radikal dan penyebaran
ideolagi ekstrem. Pada hari ini kemunculan kumpulan militan Daulah Islamiah
atau dikenali sebagai Islamic State (IS) akibat ketidakstabilan di negara Syria
dan Iraq dilihat mula memberi kesan secara langsung terhadap keselamatan
negara. Secara ringkasnya kumpulan IS ini dari segi ideologinya merupakan
kumpulan pelampau yang berpegang kepada ideologi Salafi Jihadi, mereka kononnya
memperjuangkan penubuhan Daulah Islamiah. Malangnya pendekatan yang dipilih
adalah melalui peperangan serta mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak
menegakkan hukum syariah. Kumpulan ini memberi tafsiran berbeza mengenai jihad
dan menolak hakikat jihad yang sebenar yang berasaskan kepada al-Quran dan
Sunnah, mereka membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau bukan
Islam, mereka juga menghalalkan tindakan yang lebih agresif dan kemusnahan
harta benda walaupun melibatkan hak saudara seagama mereka sendiri.
Berdasarkan kepada laporan yang diterima penularan
pengaruh IS dalam negara kita dilihat semakin meluas terutamanya melalui media
sosial seperti facebook, Instagram, Youtube dan Twitter
bagi mendapat sokongan serta merekrut anggota baru khususnya golongan belia
bagi merealisasi agenda mereka. Pemantauan yang dibuat mendapati sebilangan
kecil rakyat di negara ini berminat untuk ke Syria dan Iraq atas dasar jihad
dan peperangan di akhir zaman serta keinginan untuk mati syahid.
Suka untuk saya nyatakan disini bahawa
perjuangan IS untuk menubuhkan sebuah negara Islam dengan menggunakan kekerasan
dan keganasan adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar dan
perlembagaan negara. Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keamanan dan
berpegang dengan prinsip kesederhanaan, menjadi kewajipan kepada kita untuk
menolak gerakan ini. Usahlah kita terpengaruh dengan gerakan ini kerana ianya
menyeleweng dari hakikat jihad yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh
agama kita. Sebagai umat Islam kita hendaklah meningkatkan ukhwah Islamiah
serta mengingatkan bahawa sejarah kemakmuran negara adalah berlandaskan kepada
keamanan dan toleransi antara kita. Marilah sama-sama kita berganding
bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan dikalangan kita agar
apa jua usaha untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat
dihindarkan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 190:
Maksudnya: “Dan perangilah kerana agama Allah akan orang yang
memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan);
kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh.”
Sebagai kesimpulan yang dapat kita ambil dari perbincangan ini, saya menyeru diri sendiri dan kita semua dan seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengambil
langkah-langkah berikut:
Pertama: Memahami hakikat jihad dengan
meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman.
Kedua: Menghayati dengan jelas tentang
fiqh keutamaan (fiqh awlawiyat) dalam membuat pertimbangan hidup yang
mana perlu diutamakan dan yang mana perlu dikemudiankan.
Ketiga: Senantiasa berpegang kepada
prinsip kesederhanaan dalam semua perkara dengan menolak segala gerakan
pelampau yang boleh mengugat kesejahteraan dan keamanan.
Keempat: Mengawasi dan memantau anak-anak
kita dari segenap sudut kehidupan agar
mereka tidak terpengaruh dengan gerakan yang menyalahi agama Islam yang sebenar.
Akhir sekali, marilah
sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 286:
Maksudnya: “Allah tidak
memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala
kebaikan yang diusahakannya, dan ia menanggung dosa kejahatan yang
diusahakannya. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan
kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah engkau
bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak terdaya memikulnya. Dan
maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah
Penolong kami; maka tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang
kafir.”
Sekian, terima kasih.
Selamat membaca...
No comments:
Post a Comment