Ledakan teknologi komunikasi pada ketika
ini, membawa fenomena baru apabila ianya
tertumpu kepada penggunaan media sosial dalam pelbagai aspek
kehidupan termasuklah aktiviti
dakwah. Justeru, penggunaan
media sosial seperti facebook, whatsapps, instagram dan twitter,
dilihat memberi peluang yang meluas terhadap penyebaran mesej dakwah kerana sifatnya yang pantas dan lebih global. Dilaporkan bahawa kini terdapat lebih 500 juta pengguna facebook
dan lebih 100 juta pengguna twitter di seluruh dunia. Di negara kita
direkodkan lebih 12 juta rakyat di negara ini mempunyai akaun facebook,
majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita berkewajipan sebagai komunikator Islam, iaitu berperanan sebagai seorang dae’i,
dan diletakkan
tanggungjawab
di peringkat wajib menyampaikan mesej mengikut kadar keupayaan. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus
ayat 25:
Maksudnya:“(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke
tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa member petunjuk
hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang
peraturan-Nya)ke jalan yang betul lurus(yang selamat itu).”
Ayat
ini menyatakan bahawa Allah SWT menyeru manusia supaya patuh
dan taat kepada-Nya agar memperoleh
tempat yang selamat iaitu syurga. Oleh itu, dengan
cara berdakwah
dapat mengajak kepada seluruh manusia agar berbuat baik dan mematuhi segala perintah Allah SWT. Sehubungan itu, dalam usaha ini, ianya perlu bergantung kepada medium yang
tertentu mengikut peredaran zaman.
Oleh itu, kemunculan media baru khususnya
media sosial pada masa kini
dilihat sebagai satu wadah penting untuk berdakwah. Al faqir disini ingin menyatakan bahawa usaha dakwah melalui
internet perlu diperluaskan seiring dengan penggunaan
media tradisional. Ini
kerana penyampaian mesej dakwah itu, boleh merentasi sempadan seterusnya mampu mensasarkan kepada segenap lapisan bangsa. Melalui penggunaan
media, pelbagai keperluan semasa
umat Islam dapat
dicurahkan mengikut citarasa semasa yang sesuai dengan ajaran Islam dan yang sentiasa menjadi
alternatif umat Islam sekarang. Dengan itu, penggunaan media dalam Islam seharusnya lebih
menekankan konsep ketaqwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan kehidupan.
Al faqir ingin menyatakan
bahawa media sosial, ibarat seperti sebilah pisau yang dapat memberi kebaikan,
dan dalam masa yang sama dapat mendatangkan kemudaratan. Justeru, kadang kala
dalam keghairahan ini, kita lupa akan batas-batas agama serta dosa dan pahala
sehingga kita sanggup melanggari prinsip-prinsip Islam dengan menjatuhkan, mendedahkan
keaiban seseorang termasuklah melakukan fitnah. Dan yang lebih dahsyat lagi, ada yang
sanggup mencipta berita, dokumen, gambar palsu dan disebarkan untuk tujuan
tertentu. Al faqir disini ingin berpesan kepada diri al faqir dan saudara Islam
sekalian bahawa sebagai seorang Islam yang takutkan Allah dan percayakan hari akhirat kita hendaklah menjaga akhlak dan adab-adab kita ketika menggunakan
media sosial. Ingatlah, niat
tidak boleh menghalalkan cara sebagaimana yang
disarankan dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 11:
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak(dari
kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana)
harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu
puak dari kaum perempuan yang mencemuh dan merendah-rendah puak perempuan yang
lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebik baik daripada mereka; dan
janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain; dan janganlah
pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya
fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia
beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Sebagai orang yang beriman, kita
hendaklah menggunakan media sosial berdasarkan kepada prinsip dakwah yang telah
digariskan Islam. Beberapa prinsip-prinsip yang perlu ada pada diri seorang
Islam antaranya ialah,
Pertama: Janganlah merendahkan dan mencaci maki orang lain, kerana Allah SWT lebih
mengetahui siapa yang lebih baik antara kita,
Kedua: Jangan mendedahkan keaiban seseorang atau menyebarkan
keburukan, kerana
perkara ini dilarang oleh agama, malah Allah SWT menempelak golongan yang suka
mendedahkan aib orang lain. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan
Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”(Riwayat
Muslim)
Ketiga: Janganlah
menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk kerana ianya boleh
mendatangkan dosa dan membawa kepada kefasikan.
Keempat: Janganlah menjadi egen penyebar fitnah dan berita palsu serta
jauhilah dari berprasangka buruk kerana ianya mendatangkan dosa. Seandainya
sesuatu berita itu sampai kepada kita, hendaklah disemak dahulu kesahihannya.
Kelima: Jangan mencari kesalahan orang lain. Ingatlah bahawa Islam
menyuruh mencegah kemungkaran seiring dengan suruhan melakukan kebaikan.
Keenam:
Menjaga tutur bicara agar tidak mendatangkan kemarahan orang lain. Kegagalan kita mematuhi keenam-enam
prinsip di atas dikhuatiri akan mendedahkan diri kita kepada dosa antara sesama
manusia yang berterusan.
Sesungguhnya segala tutur bicara kita di dunia ini di bawah perhitungan Allah
SWT dan akan dibentangkan di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi
ayat 49:
Maksudnya: “Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan,
maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa
yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa
kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar,
melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia
(tertulis di dalamnya). dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada
seseorang pun.”
Kebebasan dalam Islam bukanlah secara mutlak. Sebagai agama yang syumul, Islam
telah menetapkan apa yang boleh dan tidak, apa yang harus dan makruh, apa yang
halal dan haram. Ingatlah bahawa kebebasan dalam Islam bergantung kepada
rasionalisasi dan kepercayaan. Oleh itu sebagai orang yang beriman, hendaklah
bertanggungjawab di atas setiap berita yang disampaikan, agar ianya tidak
mendatangkan pendustaan,
buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencela, dan sebagainya. Lebih-lebih lagi
ianya menjadi punca berlakunya kekacauan, perpecahan dan permusuhan dalam
masyarakat. Bayangkanlah, apakah yang akan berlaku kepada agama Islam
dan negara tercinta jika amalan fitnah dan pembohongan menjadi medium utama
dalam media massa,
media cetak dan sebagainya.
Maka seharusnya kita gunakanlah media sosial untuk tujuan dakwah dan perkara-perkara
kebaikan. Bercakap perkara benar atau lebih baik berdiam sahaja kerana itu
lebih memberi manfaat. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang
sia-sia dan tiada berfaedah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Siapa
beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik
atau ia diam.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hal ini sebagai
contoh, jika 100 orang umat Islam dapat menerbitkan artikel mengenai Islam dari
pelbagai perspektif dan disiplin ilmu dan menyebarkannya di laman media sosial,
kemungkinan jumlah pembaca 100 makalah ilmu tersebut akan mencecah ribuan malahan
jutaan. Bayangkan betapa luasnya penyebaran dakwah
dapat dicapai tanpa mengeluarkan kos, hanya bersandarkan usaha melalui hujung
jari sahaja. Inilah sebahagian dari maksud hikmah dalam berdakwah. Menurut Sheikh
Muhammad Ali al-Sabuni di dalam Safwat al Tafasir, menjelaskan pengertian berdakwah dengan
hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci secara
bijaksana, berlemah lembut dan
beradab, sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela. Bersesuaian dengan itu,
menggunakan media sosial sebagai alat dakwah melalui perkongsian ilmu, perbincangan ilmiah,
peringatan dan nasihat secara berhemah, bijaksana dan menarik di dalam blog,
facebook dan twitter merupakan salah satu usaha dakwah yang
berhikmah.
Sesungguhnya kehidupan
bermasyarakat dan bernegara hendaklah berteraskan nilai-nilai akhlak dan nilai
budaya yang bertamadun. Renungkanlah, berapa ramaikah antara kita yang sentiasa
bermuhasabah tentang kehidupannya. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan
dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah
SWT. lngatlah wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan dan ucapan kita
sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada
terjerumus ke dalam dosa disebabkan keghairahan kita untuk melayani pelbagai
karenah melalui media massa. Setiap apa yang disebarkan dan diberitakan pasti
akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang
diredhai Allah akan dicatat, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan
kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:
Bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat
zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat
zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”
Sekian, terima kasih.
~selamat membaca~
No comments:
Post a Comment