Ketika satu demi satu
negara Islam di dunia semakin lemah atau hancur dek kerana rakyatnya telah
tersilap pertimbangan akibat terlalu mengikut emosi sehingga termakan hasutan
musuh, Malaysia masih berdiri teguh dan bertahan dari mengikut jejak langkah
mereka. Malaysia sebagai sebuah
negara Islam, menikmat pelbagai limpahan rahmat dan nikmat dari Allah SWT,
dilihat mampu menjadi peneraju semua negara Islam di dunia.
Namun
persoalan besar yang timbul ialah bagaimana mungkin kita mampu mengecapi semua
nikmat ini seandainya barisan kepimpinan kita bukan dalam kalangan yang layak
iaitu adil, cekap, bijak dan prihatin?. Ya, sudah pasti negara ini akan hancur
melihat dari keadaan lanskapnya yang begitu rapuh iaitu berbilang bangsa, agama
dan budaya. Justeru, mentaati pemimpin yang adil adalah wajib sebagaimana
disepakati majoriti ulama tafsir, fuqaha dan sebagainya.
Perintah taat kepada pemerintah adalah bukan datang dari pemerintah tetapi
datangnya dari Allah SWT, maka kalau rakyat menderhaka dengan
pemerintah ertinya mereka menderhaka terhadap Allah SWT.
Hayati firman Allah SWT
di dalam Surah an-Nisa’ ayat 59,
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ta’atlah kamu kepada
Allah dan ta’atlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Uli’l-Amri” (orang-orang
yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantahan
(berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya
kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika
kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih
baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Berdasarkan ayat ini Imam Nawawi
menjelaskan bahawa rakyat wajib taat kepada pemerintah dan negara. Jika mereka
cuai dan tidak bertanggungjawab, maka mereka tidak beradab di sisi Allah SWT. Inilah tugas rakyat yang paling asas seperti
yang di firmankan Allah melalui ayat tersebut.
Mentaati penguasa atau pemerintah
umat Islam (Ulil Amri) merupakan salah satu prinsip di
dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Oleh yang demikian, mereka wajib
melaksanakan amanah menguruskan hal ehwal umat Islam dalam sesebuah negara demi
menjaga urusan agama dan dunia.
Menurut
Syaikh
Abdus Salam Barjas, pengarang kitab Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab
wa as-Sunnah bahawa terdapat beberapa
kaedah dalam menentukan pemimpin umat Islam antaranya
(i) mereka yang memiliki kedaulatan atau kuasa
mentadbir masyarakat atau
rakyat,
(ii)mereka yang telah dipilih, atau telah
menang dan memegang kuasa
pemerintahan sama ada secara syar’i atau sebaliknya,
(iii)mereka yang tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagai pemimpin
yang
sah, tetapi telah memegang kekuasaan dalam pemerintahan, maka wajib untuk
ditaati, dan
(iv) mereka yang dilantik atas keperluan sesebuah negara atau
wilayah tertentu.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah
SAW bersabda,
Mafhumnya: “Orang Islam wajib mendengar dengan patuh dan taat
semua arahan pemimpin, baik perkara itu disukai ataupun dibenci, melainkan
apabila dia disuruh melakukan maksiat. Apabila dia disuruh melakukan maksiat,
dia tidak boleh mematuhi suruhan itu”
Oleh yang
demikian itu, al faqir menyeru kepada diri ini dan semua pihak di negara ini, berikanlah
contoh teladan yang baik di antara kita sesama kita dengan saling bergandingan
bahu dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat
dan kemakmuran negara. Jika terdapat perselisihan dan perbezaan pandangan,
segeralah kita kembali kepada pedoman al-Quran dan as-Sunnah serta raikanlah
ruang berkenaan dengan cara yang penuh hikmah dan kasih sayang.
Usahlah dipilih sudut sempit untuk
kita saling jatuh-menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah sehingga
akhirnya menatijahkan kepada kehancuran. Paling membimbangkan, jika keburukan
ini tersebar di mata masyarakat antarabangsa. Tindakan sedemikian boleh
menyebabkan negara terjerumus ke dalam kancah ketidakstabilan.
Adalah tidak benar kalau kita katakan
hanya pemerintah sahaja yang mempunyai tanggung jawab yang wajib di laksanakan
kepada rakyat. Sebenarnya rakyat pun ada tanggungjawabnya terhadap pemerintah.
Sebagaimana rakyat berhak mendapat keadilan dari pemerintah, pemerintah juga
berhak mendapat keadilan dari rakyatnya. Oleh itu, sebagai rakyat kita wajib memahami tanggungjawab dan
menghormati mereka, bahkan menyokong apa yang telah dirancang. Imam Muslim meriwayatkan
daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja’i bahawa Rasulullah SAW bersabda,
Mafhumnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan
mereka mencintai kamu, kamu mendo’akan mereka dan mereka mendo’akan kamu.”
Tuntasnya,
sesiapa yang memuliakan dan menghormati pemerintah, maka Allah SWT akan memuliakannya
pada hari kiamat, manakala mereka yang tidak memuliakannya, maka Allah SWT akan
menghinanya pada hari kiamat kelak. Perbuatan merendah-rendahkan
pemimpin ibarat melepaskan tali kekang Islam dari lehernya. Imam Ahmad meriwayatkan
daripada Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
Islam mempunyai peraturan-peraturan
yang begitu lengkap tentang tanggungjawab pemerintah dan juga tanggungjawab rakyat.
Sekiranya kedua-dua pihak ini saling menunaikan tanggung jawab masing-masing
dengan baik, maka bertambah aman dan sejahteralah negara itu.
Justeru, kunci untuk mencapai kejayaan tersebut adalah kembali kepada
diri umat Islam itu sendiri. Kita perlu kuat berpegang dengan ajaran Islam yang
menjaminkan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Kombinasi antara pemerintah yang adil
dan rakyat yang taat akan mencetuskan kebaikan yang merata dalam sesebuah
masyarakat dan dinikmati oleh semua pihak. Jika sebaliknya,
kebaikan ini hanya akan tinggal angan-angan kosong sahaja. Apa yang pasti, rasa
kasih-mengasihi antara rakyat dan pemerintah mesti disemarakkan dan di tanam
betul-betul kerana dari situlah lahirnya ketaatan. Maka dapatlah disimpulkan disini bahawa :
Pertama:
|
Mentaati pemimpin dalam urusan kebaikan
(ma’ruf) termasuk merealisasikan perintah dan membantu mereka dalam
urusan kebaikan yang diperlukan adalah satu kewajiban.
|
Kedua:
|
Rakyat yang taat dan baik sentiasa
menghormati, memuliakan dan dan mendoakan kebaikan para pemimpin.
|
Ketiga:
|
Islam melarang daripada saling menjatuhkan,
serta menzahirkan sifat penentangan atau sehingga menghina atau mencela antara
satu sama lain.
|
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang ta’at kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (Surah al-Ahzab: 70-71)
Sekian,terima kasih.
~selamat membaca~