Sunday, January 22, 2017

Apabila Kesetian Diuji...

Ketika satu demi satu negara Islam di dunia semakin lemah atau hancur dek kerana rakyatnya telah tersilap pertimbangan akibat terlalu mengikut emosi sehingga termakan hasutan musuh, Malaysia masih berdiri teguh dan bertahan dari mengikut jejak langkah mereka. Malaysia sebagai sebuah negara Islam, menikmat pelbagai limpahan rahmat dan nikmat dari Allah SWT, dilihat mampu menjadi peneraju semua negara Islam di dunia.
Namun persoalan besar yang timbul ialah bagaimana mungkin kita mampu mengecapi semua nikmat ini seandainya barisan kepimpinan kita bukan dalam kalangan yang layak iaitu adil, cekap, bijak dan prihatin?. Ya, sudah pasti negara ini akan hancur melihat dari keadaan lanskapnya yang begitu rapuh iaitu berbilang bangsa, agama dan budaya. Justeru, mentaati pemimpin yang adil adalah wajib sebagaimana disepakati majoriti ulama tafsir, fuqaha dan sebagainya. Perintah taat kepada pemerintah adalah bukan datang dari pemerintah tetapi datangnya dari Allah SWT, maka kalau rakyat menderhaka dengan pemerintah ertinya mereka menderhaka terhadap Allah SWT.
Hayati firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa’ ayat 59,
 
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ta’atlah kamu kepada Allah dan ta’atlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Uli’l-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantahan (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Berdasarkan ayat ini Imam Nawawi menjelaskan bahawa rakyat wajib taat kepada pemerintah dan negara. Jika mereka cuai dan tidak bertanggungjawab, maka mereka tidak beradab di sisi Allah SWT. Inilah tugas rakyat yang paling asas seperti yang di firmankan Allah melalui ayat tersebut.

Mentaati penguasa atau pemerintah umat Islam (Ulil Amri) merupakan salah satu prinsip di dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Oleh yang demikian, mereka wajib melaksanakan amanah menguruskan hal ehwal umat Islam dalam sesebuah negara demi menjaga urusan agama dan dunia.
Menurut Syaikh Abdus Salam Barjas, pengarang kitab Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah bahawa terdapat beberapa kaedah dalam menentukan pemimpin umat Islam antaranya 
(i) mereka yang memiliki kedaulatan atau kuasa mentadbir masyarakat atau
     rakyat, 
(ii)mereka yang telah dipilih, atau telah menang dan memegang kuasa
     pemerintahan sama ada secara syar’i atau sebaliknya, 
(iii)mereka yang tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagai pemimpin
     yang sah, tetapi telah memegang kekuasaan dalam pemerintahan, maka wajib                 untuk ditaati, dan 
(iv) mereka yang dilantik atas keperluan sesebuah negara atau wilayah tertentu.
   Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa                           Rasulullah SAW bersabda,

Mafhumnya:Orang Islam wajib mendengar dengan patuh dan taat semua arahan pemimpin, baik perkara itu disukai ataupun dibenci, melainkan apabila dia disuruh melakukan maksiat. Apabila dia disuruh melakukan maksiat, dia tidak boleh mematuhi suruhan itu”


Oleh yang demikian itu, al faqir menyeru kepada diri ini dan semua pihak di negara ini, berikanlah contoh teladan yang baik di antara kita sesama kita dengan saling bergandingan bahu dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Jika terdapat perselisihan dan perbezaan pandangan, segeralah kita kembali kepada pedoman al-Quran dan as-Sunnah serta raikanlah ruang berkenaan dengan cara yang penuh hikmah dan kasih sayang.
          Usahlah dipilih sudut sempit untuk kita saling jatuh-menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah sehingga akhirnya menatijahkan kepada kehancuran. Paling membimbangkan, jika keburukan ini tersebar di mata masyarakat antarabangsa. Tindakan sedemikian boleh menyebabkan negara terjerumus ke dalam kancah ketidakstabilan.
Adalah tidak benar kalau kita katakan hanya pemerintah sahaja yang mempunyai tanggung jawab yang wajib di laksanakan kepada rakyat. Sebenarnya rakyat pun ada tanggungjawabnya terhadap pemerintah. Sebagaimana rakyat berhak mendapat keadilan dari pemerintah, pemerintah juga berhak mendapat keadilan dari rakyatnya. Oleh itu, sebagai rakyat kita wajib memahami tanggungjawab dan menghormati mereka, bahkan menyokong apa yang telah dirancang. Imam Muslim meriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja’i bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Mafhumnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendo’akan mereka dan mereka mendo’akan kamu.”

Tuntasnya, sesiapa yang memuliakan dan menghormati pemerintah, maka Allah SWT akan memuliakannya pada hari kiamat, manakala mereka yang tidak memuliakannya, maka Allah SWT akan menghinanya pada hari kiamat kelak. Perbuatan merendah-rendahkan pemimpin ibarat melepaskan tali kekang Islam dari lehernya. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Mafhumnya: “Sesungguhnya akan muncul selepasku pemerintah, maka janganlah engkau menghinanya, sesiapa yang ingin menghinanya maka sesungguhnya dia telah melepaskan tali kekang Islam dari lehernya.”

Islam mempunyai peraturan-peraturan yang begitu lengkap tentang tanggungjawab pemerintah dan juga tanggungjawab rakyat. Sekiranya kedua-dua pihak ini saling menunaikan tanggung jawab masing-masing dengan baik, maka bertambah aman dan sejahteralah negara itu. Justeru, kunci untuk mencapai kejayaan tersebut adalah kembali kepada diri umat Islam itu sendiri. Kita perlu kuat berpegang dengan ajaran Islam yang menjaminkan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Kombinasi antara pemerintah yang adil dan rakyat yang taat akan mencetuskan kebaikan yang merata dalam sesebuah masyarakat dan dinikmati oleh semua pihak. Jika sebaliknya, kebaikan ini hanya akan tinggal angan-angan kosong sahaja. Apa yang pasti, rasa kasih-mengasihi antara rakyat dan pemerintah mesti disemarakkan dan di tanam betul-betul kerana dari situlah lahirnya ketaatan. Maka dapatlah disimpulkan disini bahawa :

Pertama:
Mentaati pemimpin dalam urusan kebaikan (ma’ruf) termasuk merealisasikan perintah dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan adalah satu kewajiban.
Kedua:
Rakyat yang taat dan baik sentiasa menghormati, memuliakan dan dan mendoakan kebaikan para pemimpin.
Ketiga:
Islam melarang daripada saling menjatuhkan, serta menzahirkan sifat penentangan atau sehingga menghina atau mencela antara satu sama lain.

Akhir sekali, marilah kita mengamati dan memahami firman ALLAH dalam surah al ahzab ayat 70 -71 : 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang ta’at kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (Surah al-Ahzab: 70-71)

Sekian,terima kasih.

~selamat membaca~

Friday, January 13, 2017

Kerana mulut...

Syariat Islam telah meletakkan prinsip-prinsip bermuzakarah, berdailog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan mestilah berasaskan akal yang sihat, disiplin ilmu, sumber hukum syariat dan bukan secara agakan, sentimen, kepentingan sesuatu dan mengikut emosi. Ini sekaligus dapat mengekalkan kesatuan dan permuafakatan serta menghalang perpecahan dan perselisihan pendapat. Tambahan pula, umat Islam kini bukan sahaja menghadapi serangan dalam bentuk fizikal, tetapi yang amat membimbangkan ialah pertembungan yang bersifat perdebatan.
Sehingga apa yang telah dinyatakan oleh Nabi SAW bahawa perselisihan dikalangan umatku adalah satu rahmat, namun kadangkala berlaku sebaliknya iaitu perpecahan. Fenomena ini bukan sahaja akan membinasakan kefahaman umat Islam terhadap agamanya sendiri, malah pemikiran dan ritual ibadah mereka juga turut menjadi sasaran. Usaha dakwah atau mengajak manusia kepada Islam sentiasa diuji dengan pelbagai rintangan sejak dahulu sehingga sekarang. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israk ayat 53:

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.

Marilah kita sama-sama merenung sejenak kepada kehalusan seni ciptaan Allah SWT terhadap manusia. Apa yang boleh dinyatakan ialah kita mendapati bahawa setiap insan dilahirkan dengan pelbagai karakter dan perbezaan sifat fizikal diri, termasuklah pasangan kembar seiras. Mereka ini mungkin mempunyai genetik, kromosom dan raut fizikal yang sama tetapi bukan keseluruhannya benar-benar sama. Apatah lagi akal dan fikirannya, yang sememangnya lebih berbeza. Itulah manusia. Perbezaan pemikiran, pendapat atau pandangan merupakan satu fenomena semula jadi manusia yang menunjukkan bahawa kemampuan akal ini adalah terbatas, namun ia menjadikan manusia saling melengkapi antara satu sama lain. Hal ini telah diperakui di dalam al-Quran, menerusi surah Hud ayat 118 hingga 119:

Maksudnya: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa).”

Tradisi Islam telah menyaksikan bahawa umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi telah berselisih pendapat. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan di dalam sebuah hadis bahawa baginda SAW berpesan kepada para sahabat r.anhum,

Mafhumnya: “Rasulullah SAW telah bersabda kepada kami sewaktu pulang dari perang Ahzab. Sabdanya: Janganlah kamu mendirikan solat Asar sehingga kamu tiba di perkampungan Bani Quraizah.”

Namun, sekumpulan sahabat telah mendirikan solat Asar apabila masuk waktunya walaupun belum sampai ke Bani Quraizah kerana bimbang akan terluput waktu untuk mengerjakan solat dalam waktunya, manakala sekumpulan yang lain pula tidak mendirikan solat Asar sehinggalah mereka benar-benar tiba di Bani Quraizah, sedangkan ketika itu masa telah lewat sehingga matahari sudah terbenam. Apabila diajukan masalah ini kepada baginda SAW, baginda tidak menyalahkan mana-mana pihak dan memahami bahawa mereka telah mentafsirkan arahan baginda SAW mengikut kefahaman masing-masing.
Para ulama sering merujuk peristiwa ini sebagai contoh klasik bagaimana perbezaan pandangan dan tafsiran merupakan suatu yang lumrah dan tidak tercela. Apa yang menyedihkan kita ialah apabila saban hari kita mendengar perbalahan dan perdebatan yang timbul akibat perbezaan pendapat dalam perkara yang sepatutnya kita boleh berlapang dada. Jika dahulu manusia hanya bertelagah dalam konflik politik, namun hari ini situasi menjadi lebih menyedihkan apabila umat Islam boleh berkelahi dalam konteks agama dan penyebaran dakwah. Sepatutnya sikap para pendakwah bukan seperti orang politik konvensional meskipun dalam perkara-perkara ijtihadi. Jauhilah daripada bertikam lidah, berburuk sangka dan saling menuduh antara satu sama lain lebih-lebih lagi menerusi alam siber, gajet dan media sosial. Sentiasalah bersangka baik (husnuzzan) dan elakkanlah daripada berdebat kerana Islam tidak menggalakkan umatnya berdebat, dikhuatiri ia membawa kepada perpecahan dan permusuhan yang sia-sia.
Mari kita hayati dan renungkan pengajaran daripada firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10 ini,

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Sebagai langkah untuk meningkatkan nilai diri, marilah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh ke arah perkara-perkara berikut iaitu 

Pertama, berlapang dada meraikan perbezaan. Ingatlah, hanya apabila kita menjadi manusia berjiwa besar dan bersedia mengakui kelemahan diri dan mencintai perdamaian, maka diri kita akan lebih mudah bertolak ansur dan membuang ego masing-masing demi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya. Dengan kematangan minda dan kehebatan ilmu pada diri, bersama-samalah kita meraikan perbezaan pada setiap insan agar tidak berlaku pertelingkahan dan pergaduhan yang tidak menguntungkan. Jangan sampai “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan dan umat binasa”.

Kedua, jauhkan diri daripada perkara yang sia-sia. Ambillah peluang keemasan pada hari yang barakah ini dengan menjauhkan diri daripada segala perkara yang tidak berfaedah sama ada perbuatan atau perkataan. Jagalah lidah dari perkara yang sia-sia, tutuplah mata dari pandangan dosa, pekakkan telinga dari perkara tercela dan jagalah hati dari perasaan kotor dan buruk sangka. Jangan sampai pahala yang dicita, tetapi dosa yang dicipta. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya:Seseorang Muslim adalah orang yang menjaga lidah dan tangannya daripada menyakiti Muslim yang lain, dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) pula adalah orang yang meninggalkan segala larangan Allah.”

Lihatlah bagaimana baginda Rasulullah SAW menggambarkan ketinggian nilai kasih umat Islam seumpama satu bangunan yang saling memperkukuhkan satu sama lain.

Maka disini dapatlah disimpulkan bahawa:
Pertama:
Islam adalah agama yang menganjurkan perdamaian dan kasih sayang;
Kedua:
Jagalah lidah kita daripada berkata perkara yang sia-sia dan dimurkai Allah; dan
Ketiga:
Umat Islam adalah seumpama satu badan; jika salah satu anggota sakit, maka seluruh badan akan turut merasai sakitnya.


Akhir sekali, marilah sama-sama kita renung dan fahami firma ALLAH dalam surah Ali Imran ayat 103 : 

Maksudnya:  “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada ditepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali Imran:103)

sekian,terima kasih.

~selamat membaca~