Saturday, November 12, 2016

Rasuah : Satu bencana dan Perosak Agama,Bangsa dan Negara

Perbuatan rasuah adalah haram mengikut perspektif hukum Islam dan tergolong dalam dosa-dosa besar. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 188 iaitu :

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Allah SWT melarang hamba-Nya daripada mengambil harta orang lain dan jangan sesekali menerima rasuah. Islam mengutuk perbuatan rasuah, menipu, pecah amanah dan mungkir janji atau sebarang sifat negatif yag merosakkan masyarakat. Perbuatan itu mengeruhkan hubungan dalam masyarakat dan mencacatkan hubungan dengan Allah SWT. Mereka yang melakukan jenayah rasuah akan menerima siksaan yang berat di akhirat kelak.

Perbuatan rasuah adalah melanggar amanah dan termasuk ke dalam golongan munafik. Rasulullah SAW bersabda:
 عَنْ أبى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:" آَيَةُ المُنَافِقِ ثَلاثٌ. إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Bermaksud: “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, jika dia berkata-kata, dia berdusta, apabila berjanji, dia mungkir, apabila diberi amanah, dia khianati”.
      (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Rasuah juga boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa hamba kepada Tuhannya. Alangkah ruginya kerana disebabkan perbuatan rasuah, ibadah kita hanya sia-sia dan menjauhkan diri kita daripada mendapat rahmat dan inayah Allah SWT. Lebih malang lagi kesan daripada perbuatan rasuah kita akan terdedah dengan malapetaka dan bencana dalam kehidupan.

Oleh kerana itu, pada hari ini sama-samalah kita membina keperibadian diri agar kita tidak terlibat dengan amalan rasuah dan mencari rezeki yang tidak halal sama ada sebagai pemberi rasuah, penerimanya atau perantaranya. Kerana Allah SWT dan Rasul-Nya melaknat ketiga-tiga golongan tersebut. Pembentukan peribadi juga berkait rapat dengan sumber rezeki yang menjadi punca makanan yang akan menjadi darah daging dalam diri kita. Rezeki yang halal akan membawa keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha kerana kerja adalah ibadah di sisi Allah SWT sekiranya dilakukan dengan ikhlas mengikut hukum syarak.
Marilah sama-sama kita berusaha mempertingkatkan kesedaran dalam usaha menghapuskan rasuah kerana tanpa kerjasama daripada seluruh anggota masyarakat, usaha-usaha pencegahannya tidak akan berjaya. Perkukuhkanlah keimanan dalam diri supaya dapat menjadi benteng daripada terjebak kepada jenayah rasuah yang keji ini. Firman Allah SWT dalam surah An- Nisa’ ayat 29-30 iaitu :

Maksudnya:“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya)”.


Islam amat menitikberatkan rezeki yang halal, rezeki yang diperolehi secara rasuah, pecah amanah dan suatu yang negatif adalah haram dan berdosa. Sedangkan banyak lagi bidang rezeki yang halal di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud:

Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu”.

Dalam satu riwayat bahawa, Rasulullah SAW mengirim seorang utusan untuk mengumpul zakat dari satu kabilah, tetapi setelah utusan itu menghadap Nabi SAW, sebahagian barang yang dibawanya itu dipegang dan dia berkata kepada Rasulullah SAW: 

Ini untukmu dan ini pula untuk saya yang diberikan oleh pembayar zakat, sebagai hadiah kepada saya. Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad SAW marah sambil bersabda yang bermaksud: Mengapa tidak sahaja kamu tinggal di rumah bersama kedua-dua ibu-bapa kamu sehingga hadiah itu sampai kepadamu, sekiranya kamu orang yang jujur”.

Pengamal rasuah akan sentiasa hidup dalam keresahan dan kebimbangan dan menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka. Justeru, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada perbuatan memberi atau menerima rasuah kerana perbuatan itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.00 atau yang mana lebih tinggi. Ingatlah, perbuatan rasuah amat dimurkai Allah SWT dan juga boleh menghancurkan masyarakat, agama dan negara.

Islam mengharamkan rasuah dalam apa jua bentuk dan nama. Saidina Omar bin Abdul Aziz pernah diberikan hadiah sewaktu menjadi khalifah tetapi ditolaknya, kemudian dia dikatakan kepadanya “Rasulullah SAW menerima hadiah” maka Saidina Omar bin Abdul Aziz menjawab, “apa yang diterima oleh Rasulullah SAW itu memang hadiah, tetapi ini buat saya adalah suapan (rasuah)”. Ambillah pengajaran dari sikap berhati-hati yang ditunjukkan oleh Khalifah Omar bin Abdul Aziz. Tetapi pada akhir zaman ini sebahagian umat Islam tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan menguntungkan mereka. Mereka ini ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat penting dalam kehidupan. Lantaran itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat dan keinginan masing-masing. 

Sesungguhnya ingin al faqir menyatakan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia yang cemerlang kerana:

Pertama : Menjamin kesinambungan nasab dan keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman;

Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warganya;

Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah; dan

Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan jenayah rasuah.

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab menghapuskan rasuah. Semoga darjat keimanan dan ketaqwaan kita semakin bertambah subur supaya dapat berbuat kebaikan dan mencegah diri dari perkara keji dan mungkar. Marilah kita hayati firma ALLAH dalam surah Ali Imran ayat 40 : 

Maksudnya:“Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang demikian ialah orang-orang yang berjaya..(surah Ali Imran ayat 104)

Sekian, terima kasih. 

~selamat membaca~

No comments:

Post a Comment