Islam
amat menitik beratkan umatnya supaya istiqamah dalam setiap apa yang dilakukan
supaya dapat mengawal pembinaan akhlak mulia yang menghiasi diri mukmin. Kalimah
Istiqamah membawa pengertian melakukan sesuatu perkara secara berterusan dan
bukan terhenti pada musim-musim tertentu sahaja. Ini kerana amalan yang
dilakukan secara istiqamah lebih disukai oleh Allah SWT. Bahkan dapat dikatakan
bahawa individu yang beristiqamah mempunyai pegangan akidah Islam yang sebenar dan
mampu menjalankan syariat dengan teguh walau dalam apa situasi sekalipun. Ini
dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah Hud ayat 112:
Maksudnya: “Oleh itu,
hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan
yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang
yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah
kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan
apa yang kamu kerjakan.”
Beristiqamah dalam sesuatu amalan
kebaikan membawa banyak manfaat kepada pelakunya termasuk meningkatkan potensi
dirinya dalam sesuatu perkara. Misalnya, seorang pekerja yang istiqamah dan
tekun dalam tugasnya akan menjadikannya seorang yang berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi, dapat mengawal gangguan emosi dan perasaan seperti kecewa
atau putus asa serta menzahirkan tingkahlaku yang positif.
Selain
itu, terdapat beberapa lagi tanda-tanda orang yang beristiqamah sebagaimana
disebutkan oleh Syeikh Usman bin Hasan
Asy-Syakir al-Khaubawiyyi di dalam Kitab Durratun Nasihin
iaitu seperti sentiasa memelihara solat lima waktu, sentiasa memelihara lisan
daripada perkataan jahat, sentiasa menghindari prasangka buruk, tidak menghina
sesama saudara, sentiasa bersederhana dalam semua keadaan, sentiasa berinfaq di
jalan Allah SWT, sentiasa memelihara pandangan dari maksiat, tidak membanggakan
diri dan sentiasa berpegang teguh dengan akidah yang betul.
Bagi
memastikan istiqamah terhasil, maka kita perlu melalui tiga tahap. Pertama,
Tahap Istiqamah Hati iaitu keadaan di mana kita sentiasa teguh
mempertahankan kesucian iman dan memelihara hati dari perkara syirik,
menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela seperti riak, dan menyuburkan hati
dengan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas. Dalam keadaan ini, Istiqamah hati
mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap perkara yang membawa kepada kebenaran.
Kedua,
Tahap Istiqamah Lisan iaitu memelihara lisan dan tuturkata kita dari
ungkapan cela dan sentiasa berkata benar, jujur, tidak berpura-pura, tidak
bermuka-muka dan tidak berdolak-dalik seiring dengan tindakan yang dilakukan.
Tahap kedua ini ada pada orang beriman yang berani menyatakan dan
mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allah SWT semata-mata.
Ketiga,
Tahap Istiqamah Perbuatan iaitu yang merangkumi ketekunan kita dalam melakukan
amalan atau apa sahaja usaha untuk mencapai kejayaan yang diredhai oleh Allah
SWT sehingga menghasilkan sikap dedikasi dan konsisten tanpa timbul rasa cepat
kecewa, lemah semangat atau berputus asa.
Yakinlah,
dengan beristiqamah dan berpegang teguh pada jalan Allah SWT nescaya kita akan
mendapat rahmat daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT
dalam surah Fussilat ayat ke 30:
Maksudnya: “Sesungguhnya
orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap di atas jalan
yang betul, turunlah kepada mereka malaikat dengan berkata: Janganlah kamu
bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa
kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
Bagi
orang yang tidak istiqamah pula, mereka akan mudah diserang rasa kecewa dan
putus asa apabila sesuatu yang diharapkan tidak tercapai. Bahkan mereka juga akan
menghadapi dan menemui banyak kegagalan. Menurut pemerhatian, antara
faktor yang mengagalkan usaha istiqamah ini adalah kelemahan benteng diri
muslim dalam mempertahankan kesucian dan ketaqwaan di dalam jiwa mereka. Justeru
bagi mengatasi masalah ini, terdapat beberapa langkah yang boleh dilihat disini seperti berikut:
Langkah Pertama,
Muraqabah iaitu mengingati Allah SWT dengan cara memikir, merenung dan meneliti
kebesaran ciptaanNya. Penelitian ini dilakukan dengan menggunakan pandangan
mata hati (Basoriyah) yang penuh keyakinan dan keikhlasan kerana Allah
SWT.
Langkah Kedua, Muwahadah iaitu iltizam seseorang atas nilai-nilai
kebenaran Islam kerana dirinya telah ber’itikad dan berikrar dihadapan Allah
SWT.
Langkah Ketiga, Muhasabah iaitu usaha seseorang hamba untuk
melakukan perhitungan atas perbuatannya sama ada sebelum, semasa dan sesudah
melakukannya.
Langkah Keempat, Mua’qobah iaitu seseorang menghukum
terhadap dirinya sendiri di atas kesalahan yang telah dilakukan.
Langkah Kelima,
Mujahadah iaitu seseorang berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak
hawa nafsu dan mengaplikasikan seluruh nilai-nilai Islam dalam kehidupannya.
Mafhumnya: “ Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut
keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan
yang paling Allah SWT sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit”.
Sebagai mukmin, kita perlu sedar bahawa amalan mulia
yang dilaksanakan setakat ini seperti solat, puasa, zakat, haji, sedekah dan
lain-lain tidak seharusnya terhenti di situ sahaja. Amalan tersebut perlu
diteruskan dengan istiqamah bahkan dipertingkatkan lagi kualiti dan kuantitinya
dari semasa ke semasa bagi mencapai matlamat keredhaan Allah SWT.
Marilah sama-sama kita
merencana perubahan dan meneruskan proses istiqamah dengan:
Pertama:
|
sentiasa istiqamah dan berazam untuk
mengekalkan amalan-amalan kebaikan yang fardhu dan yang sunat.
|
Kedua:
|
berpegang kepada Aqidah yang benar dan menjauhi
syirik,
perkara-perkara maksiat dan mengekalkan ketaatan.
|
Ketiga:
|
menyucikan hati dengan menghayati sifat syukur di
atas segala kurniaan Allah SWT selama ini di samping melatih diri selalu
mengingati kebesaranNya dan meninggalkan sifat mazmumah.
|
Keempat:
|
melazimi pakaian taqwa dan patuh syariat
|
Kelima:
|
sentiasa tabah ketika menghadapi ujian, cabaran
dan dugaan dalam hidup menerusi sifat sabar. Sabar dapat meningkatkan mutu
ibadah dan akhlak terpuji.
|
Marilah kita sama-sama merenung firman ALLAh dalam surah Ahqaf ayat 13-14
Maksudnya: “Sesungguhnya orang
yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetapkan pendirian, maka
tidaklah mereka takut, dan tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap
kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka
telah kerjakan”. (Surah Ahqaf: 13-14