Pembentukan
sesebuah negara dan menentukan kuasa politik merupakan suatu tuntutan dalam
Islam, ianya termasuk dalam tuntutan fardu kifayah kerana mempunyai kaitan
langsung dengan perlaksanaan agama dan syariah. Berdasarkan pandangan ahl
al-Sunnah dan jumhur ulama’ menyatakan bahawa pemilihan pemerintah
hendaklah dipilih secara pilihanraya dengan memberi kuasa kepada rakyat untuk
menentukan sesebuah kerajaan yang memerintah.
Pemilihan ini merupakan ikatan kontrak di antara pemerintah
dengan rakyat. Justeru sebagai pemerintah yang
dipilih dan dilantik oleh rakyat maka hendaklah melaksanakan segala amanah dan
tanggungjawab dari rakyat. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 27 :
Maksudnya: “Wahai
orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya,
dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui
(salahnya).”
Dan sabda Rasulullah SAW:
Mafhumnya: “Ingatlah!
Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab
terhadap apa yang dipimpinnya”.(Riwayat al-Bukhari)
Maka dalam urusan pemilihan
pemerintah ini, apa yang begitu penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam.
Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam
kerana sebab-sebab berikut antaranya:
Pertama: Merupakan tanggungjawab
terbesar yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya agar mereka
bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau
bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara
perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan
mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua
pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya.
Kedua: Kedudukan pemerintah di
kalangan rakyat adalah umpama paksi pada sesuatu binaan. Dialah yang akan
merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya.
Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan.
Ketiga:
Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk
kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan
kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes
mahkamah, melantik para penguasa, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan
perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan
hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima
oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu
dan memantau perlaksanaannya.
Keempat: Dalam syariat Islam,
terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah
(pemerintahan) atau hukum-hakam siasah syar’iyyah (politik Islam).
Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syarak tidak
memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum-hakam dalam kategori ini
diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan
keadaan umat Islam.
Kelima: Umat Islam sentiasa terdedah kepada
kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan
ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau
fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan
masyarakat.
Bagi merealisasikan tanggungjawab rakyat
ini maka para ulama’ telah menetapkan beberapa syarat untuk menentukan
kelayakan seseorang pemimpin itu antaranya ialah keupayaan jasmani, kelayakan
undang-undang, kelayakan ilmu, adil dan menguasai ilmu siasah, peperangan dan
pentadbiran. Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah
bahawa: Seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran yang tajam untuk
menjaga siasah umat, pentadbiran yang menjamin kemaslahatan, berani, berupaya
mempertahankan negara dan berjihad menentang musuh. Sesungguhnya
pemimpin yang baik ialah
pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat, tidak menggadaikan agama kerana
kepentingan, berilmu, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan
negara. Ingatlah bahawa tanggungjawab
rakyat ini sekiranya tidak diberikan kepada mereka yang benar benar berhak, nescaya
masa depan negara akan hancur dan hidup rakyat akan merana. Justeru kita
sebagai rakyat hendaklah memilih pemimpin yang mampu membina
masa depan rakyat dan negara. Sabda
Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Apabila
amanah itu di sia siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya:
Bagaimana mensia siakannya. Rasulullah SAW menjawab:Apabila sesuatu jawatan itu
di serahkan kepada orang orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat
kehancuran (Riwayat al-Bukhari).
Menjadi
kewajipan kepada kita untuk membuat keputusan bijak dalam membentuk sebuah pemerintah
yang dapat membela kesucian agama dan keamanan negara. Justeru,
sebagai umat Islam, Janganlah kita terpengaruh
dengan emosi dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan kerana menyesal
kemudian hari tiada gunanya. Ingatlah bahawa keputusan kita ini menentukan masa
depan kita. Di tangan kitalah yang menentukan nasib anak cucu kita. Mungkin ada sesetengah daripada kita
yang ingin melihat menang sorak tanpa memikirkan kampung lamanya mungkin
tergadai. Janganlah kita memilih untuk berpatah arang, berkerat rotan,
bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang
akan menjadi putung-putung arang. Kita seharusnya menghayati semangat ‘biduk
berlalu kiambang bertaut’.
Ingin al faqir tekankan sekali lagi bahawa soal memilih pemimpin mempunyai kaitan dengan
perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah SWT terhadap kita pada
hari akhirat kelak. Justeru, selari dengan ini, adalah diseru umat Islam agar berlaku adil dalam menentukan kepimpinan dengan mengambil kira
ciri-ciri yang telah disebutkan tadi. Percayalah negara yang
diperintah oleh kepimpinan yang berwibawa dan konsisten akan menjamin segala
dasar-dasar dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan beramanah lagi adil
serta saksama. Sebaliknya kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara tidak
akan dicapai jika diperintah oleh golongan yang tidak mempunyai sifat amanah
dan hanya memburu jawatan.
Insyaallah segala usaha
dan perkerjaan kita akan dikira sebagai satu ibadah dan berpahala di sisi Allah
SWT.Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah as- Syuaraa' ayat 215-217:
Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada
pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku
ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang
kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Mengasihani.”
Sekian, terima kasih.
~selamat membaca~