Firman Allah SWT
dalam surah an-Nahl ayat 112:
Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu misalan;
Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah
dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu,
maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah
lakukan.”
Yakinlah bahawa keamanan adalah satu perkara yang sangat penting
di dalam kehidupan manusia samada di peringkat individu atau masyarakat demi kebaikan
umat sejagat. Dalam sejarah ketamadunan manusia sendiri
telah menunjukkan betapa nikmat keamanan memberi kesan untuk kemakmuran dunia.
Keamanan bererti kita bebas dari bahaya, bebas daripada kejahatan, kecelakaan
dan lain-lain. Ini termasuk keamanan dalam aspek kenegaraan, kekeluargaan,
sosioekonomi dan sebagainya.
Justeru, Islam menolak keras segala gerakan
yang boleh menggugat keamanan dalam apa jua bentuk termasuklah yang dibawa oleh
pelampau agama. Soal ancaman gerakan pelampau agama ini perlu diambil
perhatian oleh semua pihak kerana ia membabitkan masalah keselamatan rakyat. Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi, pasti akan jatuh
sesebuah bangsa dan huru-hara negara. Sebagai negara
demokrasi yang mengamalkan cara hidup toleran kepada pelbagai pandangan agama,
budaya, kaum, politik, ideologi dan seumpamanya. Tetapi pada masa sama, rakyat
tidak berhak untuk menjadi pelampau dalam pegangan mereka hingga mendorong
kepada tindakan ganas bagi memaksa orang lain menerimanya. Ingatlah pesan
Rasulullah SAW di dalam sebuah hadithnya yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :Berhati-hatilah dengan
pelampau agama.Orang dahulu telah binasa, mundur disebabkan sikap melampau
dalam beragama.Dan sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: Janganlah
terlalu menyusahkan diri kamu. Sesungguhnya orang dahulu dari kamu menimpa
kebinasaan kerana sikap melampau dan menyusahkan diri mereka sendiri. Saki baki
mereka ini masih lagi boleh didapati di tempat ibadah (Riwayat at-Tabari).
Menurut pandangan Prof Dr Abdul Muin Salim dalam kitabnya Fiqh
al-Siasah menjelaskan bahawa: Mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam
sesebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak
peranda seterusnya mengundang kepada mudharat kepada orang awam hukumnya adalah
haram.
Persoalan besar timbul ialah kenapa masih terdapat
segelintir manusia yang berpegang kepada prinsip pelampau agama ini?. Menurut
Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya bahaya pelampau agama menyatakan
beberapa punca yang dianggap mereka ini melampau ialah, pertama: taksub
dengan pendapat tertentu dengan terlalu rigid dan jumud, kedua: Suka
mengerjakan yang susah dan memaksa orang lain juga melaksanakannya, ketiga:
melampau yang tidak kena pada tempatnya, keempat: keras dan ganas, kelima:
sangkaan buruk kepada orang lain dan keenam kecenderungan kafir
mengkafir. Justeru, sebagai umat Islam yang beriman kita hendaklah menolak
segala punca yang menyebabkan terjadinya fahaman pelampau ini yang boleh menggugat
keamanan dan keselamatan negara. Yakinlah,
bahawa segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah
sebahagian daripada ibadah kita di jalan Allah SWT. Tariklah nafas kesedaran dan ingatlah..ingatlah didalam hati dan
pasakkanlah didalam jiwa dan fikiran kita, peliharalah dan pertahankanlah
keamanan yang sedang kita nikmati saat ini kerana sesungguhnya ia terlalu
tinggi nilainya dan terlalu didambakan oleh saudara seagama kita yang
tinggal di negara-negara lain yang bergolak. Inilah masanya,
semua umat Islam dalam negara mesti bersatu berdasarkan segala kemampuan yang
ada dan wajib menolak sebarang usaha dari mana- mana pihak yang cuba
menghancurkan keamanan negara ini. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anaam ayat
82:
Maksudnya: “Orang yang beriman dan
tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan
merekalah yang mendapat petunjuk.”.
Berdasarkan kepada sejarah, negara kita telah berdepan dengan
beberapa siri ancaman keselamatan bermula dengan ancaman pengganas komunis semasa
darurat dan kemunculan beberapa kumpulan militan seperti kumpulan tentera sabilillah,
kumpulan Nasir Ismail, al-Maunah dan lain-lain lagi yang kesemuanya menuntut berlakunya
peperangan dan pertumpahan darah serta nyawa. Hari ini sekali lagi negara kita dikejutkan
dengan ancaman keselamatan iaitu gerakan kumpulan militan Daulah Islamiah atau
dikenali sebagai Islamic State (IS). Kumpulan ini cuba menyebarluas pengaruhnya
untuk merekrut khususnya anak-anak muda bagi menyertai atas dasar jihad. Berdasarkan
kepada laporan yang diterima penularan pengaruh IS dalam negara kita dilihat semakin
meluas terutamanya melalui media sosial seperti facebook,
Instagram, Youtube dan Twitter bagi mendapat sokongan.
Pemantauan yang dibuat mendapati sebilangan
kecil rakyat di negara ini berminat untuk ke Syria dan Iraq atas dasar jihad
dan peperangan di akhir zaman serta keinginan untuk mati syahid. Mereka membunuh
sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam, mereka juga
menghalalkan tindakan yang lebih agresif dan kemusnahan harta benda walaupun melibatkan
hak saudara seagama mereka sendiri. Bayangkanlah..sanggupkah kita hidup
dalam keadaan yang huru hara, berperang sesama sendiri, bunuh berbunuhan dan suasana
yang kacau bilau? Fikir-fikirkanlah.Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah
menolak segala usaha untuk menyebarluas gerakan kumpulan ini. Percayalah bahawa
gerakan kumpulan IS bertentangan dengan prinsip ahlu sunnah wal jamaah dan ajaran
Islam serta prinsip jihad yang sebenar. Allah SWT telah
memberi peringatan ini seperti mana firman-Nya di dalam surah Ali Imran ayat
142:
Bermaksud: Adakah kamu menyangka bahawa
kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah orang yang
berjihad di antara kamu, dan belum lagi nyata orang yang sabar, tabah dan cekal
hati dalam perjuangan?
Suka saya tegaskan disini, janganlah kita menjadi seorang
muslim yang mendatangkan fitnah pada Islam itu sendiri. Janganlah kita menyalah
tafsirkan makna jihad itu sehingga menyebabkan kita umat Islam dilihat dimata
dunia sebagai umat pelampau dan pengganas.
Apa yang pasti adalah Islam sememangnya agama menolak segala bentuk keganasandan
peperangan tetapi menjurus ke arah keamanan dan kesejagatan umat manusia
keseluruhannya. Namun, kesan daripada tindakan golongan-golongan pelampau agamayang
melakukan siri keganasan yang banyak menimbulkan kemusnahan kepada umat manusia
menyebabkan imej Islam semakin tercalar. Hakikatnya, umat Islam mesti mencari
jalan dan memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam serta memperkenalkan sistem
Islam sebagai satu agama keamanan dan bukan peperangan.
Sebagai
umat Islam kita hendaklah meningkatkan ukhwah Islamiah serta mengingatkan bahawa
sejarah kemakmuran negara adalah berlandaskan kepada keamanan dan toleransi
antara kita. Inilah negara kita..negara yang akan kita wariskan kepada anak cucu dan
keturunan kita. Oleh itu, janganlah sesekali kita biarkan golongan-golongan
pelampau ini menghancurkannya. Marilah sama sama kita perkukuhkan
cinta kepada Allah dengan ikhlas berjuang menegakkan agama Allah, syariat Allah
dan memperbanyakkan amal soleh supaya kita terus berjuang di jalan Allah dan
dimasukkan golongan yang berjuang fi-sabilillah. Sebagai penutup perbincangan kita, marilah sama-sama kita
merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 190:
Sekian. terima kasih.
Selamat membaca...