Assalamualaikum dan salam sejahtera
• Bulan Ramadhan, sudah berlalu. Bagi individu yang sedar serta
menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan
Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.
• Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah
tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat
ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan
yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.
Bolehkah Bersuka Ria di Hari Raya?
Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari
raya dan hanya bersedih sahaja ?.
Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah
s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat
gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima
Islam.
Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila
melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang
menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ فَإِنَّهَا أَيَّامُ عِيدٍ
Maksudnya :
"Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya"
Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada
Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat
keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang
berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia
bertepatan dengan Hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.HM, Nabi S.A.W
pernah bersabda :
مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ
فَذَلِكُمْ الْمُؤْمِنُ
Maksudnya :
"Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa
buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati "
Mengapa Mukmin Soleh Bersedih ?
Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin
bersedih dengan pemergian Ramdahan?.
Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih,
peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan
dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-
1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya,
berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka
ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan
Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan
menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan
hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka
berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan
pemergian Ramadhan.
4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan
dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa.
AMALAN-AMALAN SUNNAH DI HARI RAYA
1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Dilakukan pada pagi 1 Syawal sebelum menunaikan solat hari raya
Aidilfitri.
Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatta' :
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ
يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya :
“Sesungguhnya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari Raya al-Fitri
sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas
sunatnya mandi untuk solat hari raya.
Hadis yang diriwayatkan daripada al-Fakih bin Sa‘ad R.A berkata :
أَنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ النَّحْرِ وَيَوْمَ عَرَفَةَ
Maksudnya :
“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W seringkali mandi pada hari raya Idul Fitri, Hari
Raya Idul Adha dan Hari ‘Arafah….”
2. Memakai bau-bauhan yang wangi
Sunnah ini hanya bagi kaum lelaki.
3. Memakai pakaian yang paling baik
Pakaian tidak semestinya baru tettapi pakaian yang indah dan
rapi sudah mencukupi
Daripada Jabir r.a. katanya : “Bagi Nabi saw ada satu jubah yang baginda akan
memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (Sahih Ibn Khuzaimah : 1765)
Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih,
bahawa Ibn ‘Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.
4. Makan terlebih dahalu sebelum menunaikan solat hari raya ‘Aid
al-Fitri
Sunnah memakan tamar dalm bilangan ganjil jika tiada sudah cukup
memkan apa-apa juadah sekali pun.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari
daripada Anas bin Malik katanya :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ ..
وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya :
“Adalah Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah
baginda makan terlebih dahulu beberapa biji Tamar… dan baginda memakannya dalam
jumlah yang ganjil.”
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengomentari hadith ini dengan
berkata : “Demikian itu kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam
berpuasa, padanya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk
tidak berpuasa pada hari tersebut).”
5. Mengajak seluruh ahli keluarga ke tempat menunaikan Solat
Sunat Aidilfitri
Sunnah mengajak seluruh ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan
perempuan yang dating haid, diasing perempauan yang dating haid daripada
perempuan yang boleh solat.
Bagi perempauan yang dating haid sunnah mereka turut serta ke temapat solat
supaya mereka dapat menyaksikan upacara solat Hari Raya dan mendengar khutbah
solat raya aidilfitri.
Ummu ‘Athiyah radhiallahu’ anha telah berkata :
أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ
وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ. قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: أَوْ الْعَوَاتِقَ
ذَوَاتِ الْخُدُورِ, فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ
وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلَّاهُمْ
. Maksudnya:
“Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) untuk
keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan
wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita
pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta
menjauhi tempat solat.”
6. Keluar dengan berjalan ke tempat solat melalui jalan lain dan
balik daripadanya melalui jalan yang lain.
Hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.HM katanya
:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya :
“Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari
solat hari raya).”
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.HM katanya :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ ، مَاشِيًا وَيَرْجِعُ مَاشِيًا
Maksudnya :
“Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan
baginda pulang darinya juga dengan berjalan.”
Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini :
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di
hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada
hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan
jahat.
ii. Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah swt
iv. Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai
menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
v. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan
atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan solatur rahim.
7. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan
firman Allah swt :
Maksudnya :
“...Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan
Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”
Sahih juga daripada ‘Abdul Rahman al-Salamiy katanya : “Adalah
mereka (sahabat Nabi saw) pada hari Raya al-Fitri lebih bersungguh berbanding
hari Raya al-Adha, Waki’ berkata : “Yakni (mereka lebih bersungguh) dalam
bertakbir.” (Lihat Irwa’ al-Ghalil : 3/122)
Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak
bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat di masjid, di rumah dan di
pasa-pasar.
Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam
raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadhan sehingga
masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.
8. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk daripada adab berhari raya ialah dengan menyampaikan
ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan :
i. وَمِنْكُمْ تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا
- Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua)
ii. مُبَارَكْ عِيْدُ – (Selamat) hari raya
yang diberkati.
iii. Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan
tahniah yang dibenarkan.
Jubair bin Nufair berkata : “Para sahabat Nabi saw apabila
mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan تُقُبَِّلَ مِنَّا وَمِنْكُمْ , Ibn Hajar berkata :
Isnad (riwayat ini ) Hasan. (Fath al-Bari : 2/446)
9. Solat Hari Raya
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya,
sebahagian mengatakan hukumnya sunat, sebahagian yang lain mengatakannya fardhu
kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ‘ain
(wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya.
Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah
Ini berdasarkan hadith di dalam Musnad Ahmad daripada Ibn ‘Abbas
r’anhuma :
أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ صَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ فِي الْعِيدِ ثُمَّ خَطَبَ
Maksudnya : “Aku menyaksikan Rasulullah saw menunaikan solat hari raya sebelum
khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”