Monday, December 26, 2016

Mencari jalan pintas ke syurga

Islam diumpamakan sebagai sebuah binaan yang tertegak megah dengan lima batang tiang. Tanpa lima tiang ini lslam seseorang akan goyah dan runtuh. lni membayangkan betapa rukun ini mestilah ditegakkan oleh setiap muslim dengan penuh ikhlas, amanah dan tanggungjawab. Menegakkan rukun lslam bermakna kesempurnaan, keteguhan, keutuhan dan keelokan binaan lslam sebaliknya kecuaian bererti keruntuhan, kehancuran dan kemusnahan lslam.
Sejarah telah mencatatkan pelbagai cabaran dalam menegakkan Islam. Namun antara cabaran yang paling utama adalah disebabkan keimanan yang rapuh kepada Allah SWT. Senario ini menyaksikan lahir banyak penyelewengan yang hanya dapat diperbaiki dengan cara memperbetulkan akidah individu dan masyarakat berkenaan.
          Jelasnya, keimanan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya mempunyai pengaruh dan kesan yang besar terhadap keunggulan insan di sisi Allah SWT. Kita meyakini bahawa hanya cara hidup beragama melalui jalan dan kefahaman yang benar serta usaha yang baik melayakkan seseorang mendapat anugerah syurga Allah SWT ini. Syurga adalah negeri kemuliaan yang abadi iaitu negeri yang penuh dengan kenikmatan yang sempurna. Kenikmatan yang telah Allah SWT sediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Salah satu di antara pokok keyakinan Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah mengimani adanya Syurga dan Neraka. Firman Allah SWT di dalam Surah as-Saff ayat 10,

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan hartabenda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Mendapat syurga dan mendiaminya dengan segala nikmat dan keseronokan menjadi cita-cita dan hasrat keinginan setiap orang. Apa yang pasti, syurga merupakan tempat untuk memberi ganjaran kepada orang yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh semasa hidup di dunia. Kenikmatan syurga tidak pernah dapat dibayangkan oleh akal manusia, tidak pernah terlintas di hati, tidak pernah dilihat dan tidak dapat digambarkan dengan perasaan serta tiada bahasa untuk diterjemahkan.
Oleh kerana iman itu sesuatu yang boleh bertambah dan berkurang, maka keimanan menjadi pemelihara dan pendorong agar seseorang itu sentiasa memastikan prestasi imannya terus teguh. Jika tidak, besar kemungkinan risiko untuk melakukan dosa adalah sangat tinggi. Hakikatnya, orang yang benar-benar beriman akan cepat menyesal jika mereka melakukan dosa. Iman tersebut akan menghukum dan menyeksa hati kecilnya lantas serta merta ia bertaubat kepada Allah SWT.
Dalam konteks ini, Islam mengajar umatnya bahawa pra-syarat untuk ke syurga ialah benar-benar beriman kepada Allah SWT dan beramal soleh sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dalam erti kata lain, tidak ada jalan singkat untuk ke syurga kecuali dengan jalan syariat yang lurus lagi benar. Sewajarnya perkara ini menyedarkan golongan yang cuba menyelewengkan ajaran Islam melalui slogan jihad fi sabilillah dalam sudut pandang yang sempit sehingga memudaratkan umat Islam itu sendiri. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hujurat ayat 15,

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”.

Faham jihad oleh segelintir golongan yang ekstremis ini perlu diperbetulkan agar sejajar dengan asas kefahaman dan keyakinan jihad yang disyariatkan. Al Faqir ingin menegaskan bahawa jihad qital ialah urusan pentadbiran negara yang perlu menepati Maqasid asSyariah atas maslahah umum. Selagi ia tidak mendapat keizinan pemerintah dan menepati kaedah yang diharuskan, maka ia adalah ancaman yang boleh memberi impak negatif terhadap keselamatan rakyat dan negara.
          Malah dalam sesetengah situasi, Rasulullah SAW tidak membenarkan umat Islam yang mempunyai ibubapa untuk berjihad sekiranya tidak diizinkan sekalipun jihad itu amalan yang paling baik. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukari dan Muslim diceritakan bahawa Ibnu Mas’ud RA mendengar Rasulullah SAW bersabda
,
Mafhumnya: Daripada Abdullah bin ‘Amr bahawa ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW untuk meminta izin berjihad. Tanya baginda: “Adakah ibubapa kamu masih hidup?”. “Ya” Sabda baginda: “Berjihadlah dalam berbakti kepada mereka”.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, sebenarnya masih terdapat banyak jalan dan peluang untuk berjihad, bahkan nilai dan ganjaran pahalanya juga sangat besar di sisi Allah SWT. Sebagai contohnya, berbakti kepada ibubapa, menyebarkan ilmu, menginfakkan tenaga dan harta pada jalan dakwah dan seumpamanya. Sebagai manifestasi orang yang beriman, maka setiap mukmin berkewajiban melaksanakan jihad mengikut kemampuan, kedudukan, pangkat, kuasa, atau kekayaan yang mereka ada. Jika ia berjaya dilaksanakan, maka ini sekaligus membuktikan nilai keimanan yang dimiliki di mana ganjarannya adalah syurga.

Jika kita menelusuri sirah Nabi SAW, pastilah kita akan mendapati bahawa baginda SAW sangat membenci keganasan, apatahlagi mencetuskan peperangan. Namun apabila terdapat umat Islam atau yang bukan Islam tersalah tafsir pengertian jihad itu adalah menyebarkan Islam dengan pedang dan keganasan, maka kita wajib memperbetulkan kesilapan tersebut. Ya, mungkin pedang berjaya menakluk negeri tetapi ia tidak mampu untuk menakluk hati dan akal manusia. Usahlah kita hanya pandai untuk mati berperang tetapi tidak pandai untuk hidup demi Islam.
Islam adalah agama yang sejahtera yang perlu dihayati oleh kita semua. Umat Islam hendaklah mempunyai kefahaman yang betul mengenai jihad sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syarak dan pastinya tiada jalan pintas ke syurga sekalipun melalui jihad. Oleh itu, beberapa perkara yang boleh disimpulkan ialah:
Pertama:
Umat Islam diseru agar memperkasakan diri dengan ilmu dan kefahaman yang benar tentang fiqh al-jihad kerana berjihad tanpa ilmu boleh mendatangkan fitnah dan keburukan kepada kesucian ajaran Islam.
Kedua:
Saf kepemimpin negara selaku Ulil Amri wajar bertindak dan mengambil tindakan mengekang keganasan dan keburukan serta dibantu dengan sokongan ibubapa demi kemaslahatan masa depan anak-anak dan warganya; dan
Ketiga:
Pahala berjihad sangat tinggi sehingga beroleh ganjaran syurga daripada Allah SWT.


Akhir sekalai, marilah kita sama-sama merenung dan memahami firman ALLAH dalam surah al baqarah ayat 214 : 

Maksudnya: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berketalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?. Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah”. (Surah al-Baqarah:214)

Sekian, terima kasih. 

~selamat membaca~

Friday, December 16, 2016

Mendaulatkan Islam dan Memartabatkan Keadilan

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT yang telah melimpahkan taufik dan hidayah-Nya serta menjadikan kita sebagai seorang Islam. Sesungguhnya, nikmat iman dan Islam adalah antara yang paling besar, yang tidak boleh ditandingi oleh apa jua nikmat di dunia ini kerana ia hanya diberikan kepada mereka yang taat dan patuh kepada-Nya sahaja. Namun, Islam bukan sahaja berkaitan dengan soal ibadah dan hubungan dengan Allah SWT, malah merangkumi segala aspek kehidupan termasuk aspek pendidikan, ekonomi, sistem bermasyarakat, berkerajaan dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 3,

Maksudnya: ”Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”

Jelas di sini, Islam adalah wahyu daripada Allah SWT kepada Rasul-Nya untuk umat manusia hidup berpandukan suatu sistem yang lengkap sehingga memperoleh keredhaan Allah SWT di atas paksi akidah, syariat dan akhlak mengikut pedoman al-Quran dan as-Sunnah. Inilah Islam yang menjadi cara hidup bagi umat Islam. Wawasannya tidak terbatas kerana Islam membawa kebahagiaan untuk selamanya.

Kita sangat bertuah kerana mendapat nikmat yang agung ini dan wajib menyayangi, mempertahan dan menegakkannya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat baginda. Mereka pernah mengikat perut dek kelaparan, pernah diboikot oleh musyrikin Mekah, namun berkat kecekalan dan kegigihan itulah Islam tersebar dan terpelihara hari ini dan seterusnya hingga ke hari kiamat. Allah SWT telah menjelaskannya di dalam SurahAli ’Imran ayat 19,

Maksudnya: ”Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.”

Setiap individu ummah mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan sistem Allah SWT di bumi ini, dan yang paling besar dimainkan oleh umarak dan ulamak. Allah SWT mememerintahkan agar kita menegakkan agama-Nya dan menghindarkan perselisihan yang membawa kepada perpecahan. Firman Allah SWT di dalam Surah asy-Syura ayat 13,

Maksudnya:“Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama yang ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan ta’at).”

Dalam konteks negara kita pada hari ini, fakta sejarah telah merekodkan bahawa Raja-raja Melayu telah memberi perkenan untuk membentuk negara ini menjadi sebuah Persekutuan. Ini ditulis secara jelas di dalam sebuah perjanjian yang dinamakan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan persetujuan asas yang perlu dipegang oleh semua pihak di Malaysia tanpa mengira asal keturunan kaum, negeri, bahasa dan agama.
Di dalam Perlembagaan ini, Agama Islam telah dimartabatkan sebagai agama bagi Persekutuan atau Agama Negara. Menerusi seawal Perkara 3 Fasal 1, Perlembagaan Persekutuan dengan terang dan nyata telah menegaskan bahawa agama Islam ialah agama negara. Ia bukan hanya agama rasmi untuk upacara rasmi sahaja, malah Islam telah dimartabatkan dengan jelas sebagai ’agama negara’ yang bermaksud Islam adalah ideologi negara. Hakikat ini bertambah terang lagi, apabila Perlembagaan Persekutuan ini juga menerusi Perkara 37 Fasal 1 mewajibkan Ketua Tertinggi Negara iaitu Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung untuk melafazkan sumpah atas nama suci Allah SWT untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.
Sumpah ini juga turut meletakkan kewajipan yang serupa kepada barisan pemerintah sama ada Badan Eksekutif yang diterajui Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, Badan Perundangan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan Badan Kehakiman iaitu Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi. Di samping itu, mana-mana pihak yang terkait dengan segala urusan pemerintahan negara ini wajib mematuhi dan mentaatinya. Dalam konteks Maqasid as-Syariah, kewajipan ini dinamakan sebagai HIFZUDDEEN iaitu kewajipan untuk memelihara agama yang merupakan prinsip pertama di dalamnya. Inilah tanda ketinggian kedaulatan agama Islam sebagai Agama Negara. Oleh itu, barang siapa yang berpegang kepada prinsip Keluhuran Perlembagaan, inilah dia prinsip luhur yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan.

Peruntukan-peruntukan ini yang merupakan sebahagian dari undang-undang tertinggi negara, sebenarnya berpegang dan menjunjung perintah Allah SWT di dalam surah asy-Syura ayat 13 tadi, iaitu perintah agar menegakkan agama. Di sini, martabat dan daulat agama Islam sebagai agama negara Malaysia perlu difahami dan dipelihara bersungguh-sungguh.
Malangnya, dalam kerancakan kita semua berusaha mendaulatkan Islam sebagai agama negara, masih terdapat segelintir masyarakat yang menganut pemikiran liberalisme telah cuba menyanggah hakikat kedaulatan Islam di negara yang tercinta ini.          Mereka berfahaman bahawa segala-galanya mestilah bebas dari sebarang pedoman keagamaan. Agama hanya satu bahagian kecil dalam kehidupan seorang individu dan ia tidak wajar sama sekali diangkat menjadi satu pedoman kenegaraan. Sangat jelas, pemikiran sebegini bertentangan dengan semangat Perlembagaan Malaysia. Dan apabila pemikiran ini secara agresif mahu disebarkan, diangkat dan dipaksakan kepada masyarakat dan negara, maka ia telah menjadi satu gerakan ekstremisme yang cuba menggugat dan menghakis kedaulatan Islam.
Golongan ini tidak mahu dan tidak boleh menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan mendaulatkan Islam, sesuai dengan apa yang telah digariskan struktur dan pentadbirannya oleh Perlembagaan. Ini menyebabkan ada yang mempertikaikan kewujudan, peranan dan keabsahan agensi-agensi agama yang telah ditubuhkan oleh kerajaan.


Oleh itu, marilah sama-sama kita memperkasakan kedaulatan Islam sebagai agenda utama dalam menentukan masa depan generasi kita di negara yang tercinta ini. Pada masa sama, kita perlu menangkis sebarang anasir dan ancaman terhadap kesucian Islam oleh pihak tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda tertentu. Semua pihak sama ada individu, keluarga, masyarakat, NGOs Islam, kerajaan, swasta dan parti politik hendaklah bergandingan dalam mempertahan kedaulatan Islam di bumi Malaysia ini.
          sehubungan dengan itu, suka al faqir merumuskan bahawa:

Pertama:
Umat Islam hendaklah sentiasa bersatu dalam mempertahankan kedaulatan Islam;

Kedua:
Umat Islam hendaklah sentiasa kekal berada dilandasan hidayah Allah SWT;

Ketiga:
Umat Islam hendaklah sentiasa mempertautkan hati di landasan taqwa; dan

Keempat:
Umat Islam hendaklah sentiasa hidup saling berkasih sayang. 


Akhir sekali, marilah kita sama-sama menghayati firman ALLAH dalam surah As-Saf, ayat 7-8 : 

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada (memeluk) Islam; dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah as-Saf: 7 - 8)

Sekian,terima kasih. 

~Selamat membaca~

Tuesday, November 29, 2016

Istiqhamah Hingga Kemenangan

Islam amat menitik beratkan umatnya supaya istiqamah dalam setiap apa yang dilakukan supaya dapat mengawal pembinaan akhlak mulia yang menghiasi diri mukmin. Kalimah Istiqamah membawa pengertian melakukan sesuatu perkara secara berterusan dan bukan terhenti pada musim-musim tertentu sahaja. Ini kerana amalan yang dilakukan secara istiqamah lebih disukai oleh Allah SWT. Bahkan dapat dikatakan bahawa individu yang beristiqamah mempunyai pegangan akidah Islam yang sebenar dan mampu menjalankan syariat dengan teguh walau dalam apa situasi sekalipun. Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah Hud ayat 112:

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

Beristiqamah dalam sesuatu amalan kebaikan membawa banyak manfaat kepada pelakunya termasuk meningkatkan potensi dirinya dalam sesuatu perkara. Misalnya, seorang pekerja yang istiqamah dan tekun dalam tugasnya akan menjadikannya seorang yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, dapat mengawal gangguan emosi dan perasaan seperti kecewa atau putus asa serta menzahirkan tingkahlaku yang positif.
Selain itu, terdapat beberapa lagi tanda-tanda orang yang beristiqamah sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Usman bin Hasan Asy-Syakir al-Khaubawiyyi di dalam Kitab Durratun Nasihin iaitu seperti sentiasa memelihara solat lima waktu, sentiasa memelihara lisan daripada perkataan jahat, sentiasa menghindari prasangka buruk, tidak menghina sesama saudara, sentiasa bersederhana dalam semua keadaan, sentiasa berinfaq di jalan Allah SWT, sentiasa memelihara pandangan dari maksiat, tidak membanggakan diri dan sentiasa berpegang teguh dengan akidah yang betul.
Bagi memastikan istiqamah terhasil, maka kita perlu melalui tiga tahap. Pertama, Tahap Istiqamah Hati iaitu keadaan di mana kita sentiasa teguh mempertahankan kesucian iman dan memelihara hati dari perkara syirik, menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela seperti riak, dan menyuburkan hati dengan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas. Dalam keadaan ini, Istiqamah hati mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap perkara yang membawa kepada kebenaran.

Kedua, Tahap Istiqamah Lisan iaitu memelihara lisan dan tuturkata kita dari ungkapan cela dan sentiasa berkata benar, jujur, tidak berpura-pura, tidak bermuka-muka dan tidak berdolak-dalik seiring dengan tindakan yang dilakukan. Tahap kedua ini ada pada orang beriman yang berani menyatakan dan mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allah SWT semata-mata. 

Ketiga, Tahap Istiqamah Perbuatan iaitu yang merangkumi ketekunan kita dalam melakukan amalan atau apa sahaja usaha untuk mencapai kejayaan yang diredhai oleh Allah SWT sehingga menghasilkan sikap dedikasi dan konsisten tanpa timbul rasa cepat kecewa, lemah semangat atau berputus asa.
Yakinlah, dengan beristiqamah dan berpegang teguh pada jalan Allah SWT nescaya kita akan mendapat rahmat daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat ke 30:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap di atas jalan yang betul, turunlah kepada mereka malaikat dengan berkata: Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

Bagi orang yang tidak istiqamah pula, mereka akan mudah diserang rasa kecewa dan putus asa apabila sesuatu yang diharapkan tidak tercapai. Bahkan mereka juga akan menghadapi dan menemui banyak kegagalan. Menurut pemerhatian, antara faktor yang mengagalkan usaha istiqamah ini adalah kelemahan benteng diri muslim dalam mempertahankan kesucian dan ketaqwaan di dalam jiwa mereka. Justeru bagi mengatasi masalah ini, terdapat beberapa langkah yang boleh dilihat disini seperti berikut:

Langkah Pertama, Muraqabah iaitu mengingati Allah SWT dengan cara memikir, merenung dan meneliti kebesaran ciptaanNya. Penelitian ini dilakukan dengan menggunakan pandangan mata hati (Basoriyah) yang penuh keyakinan dan keikhlasan kerana Allah SWT. 

Langkah Kedua, Muwahadah iaitu iltizam seseorang atas nilai-nilai kebenaran Islam kerana dirinya telah ber’itikad dan berikrar dihadapan Allah SWT. 

Langkah Ketiga, Muhasabah iaitu usaha seseorang hamba untuk melakukan perhitungan atas perbuatannya sama ada sebelum, semasa dan sesudah melakukannya. 

Langkah Keempat, Mua’qobah iaitu seseorang menghukum terhadap dirinya sendiri di atas kesalahan yang telah dilakukan. 

Langkah Kelima, Mujahadah iaitu seseorang berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu dan mengaplikasikan seluruh nilai-nilai Islam dalam kehidupannya.



   Imam Bukhari merekodkan bahawa Saidatina Aishah RHA berkata: Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “ Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah SWT sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit”.

Sebagai mukmin, kita perlu sedar bahawa amalan mulia yang dilaksanakan setakat ini seperti solat, puasa, zakat, haji, sedekah dan lain-lain tidak seharusnya terhenti di situ sahaja. Amalan tersebut perlu diteruskan dengan istiqamah bahkan dipertingkatkan lagi kualiti dan kuantitinya dari semasa ke semasa bagi mencapai matlamat keredhaan Allah SWT.

Marilah sama-sama kita merencana perubahan dan meneruskan proses istiqamah dengan:

Pertama:
sentiasa istiqamah dan berazam untuk mengekalkan amalan-amalan kebaikan yang fardhu dan yang sunat.
Kedua:
berpegang kepada Aqidah yang benar dan menjauhi syirik, perkara-perkara maksiat dan mengekalkan ketaatan.
Ketiga:
menyucikan hati dengan menghayati sifat syukur di atas segala kurniaan Allah SWT selama ini di samping melatih diri selalu mengingati kebesaranNya dan meninggalkan sifat mazmumah.
Keempat:
melazimi pakaian taqwa dan patuh syariat
Kelima:
sentiasa tabah ketika menghadapi ujian, cabaran dan dugaan dalam hidup menerusi sifat sabar. Sabar dapat meningkatkan mutu ibadah dan akhlak terpuji.

Marilah kita sama-sama merenung firman ALLAh dalam surah Ahqaf ayat 13-14 

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetapkan pendirian, maka tidaklah mereka takut, dan tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi  amal-amal salih yang mereka telah kerjakan”. (Surah Ahqaf: 13-14

Saturday, November 12, 2016

Rasuah : Satu bencana dan Perosak Agama,Bangsa dan Negara

Perbuatan rasuah adalah haram mengikut perspektif hukum Islam dan tergolong dalam dosa-dosa besar. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 188 iaitu :

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Allah SWT melarang hamba-Nya daripada mengambil harta orang lain dan jangan sesekali menerima rasuah. Islam mengutuk perbuatan rasuah, menipu, pecah amanah dan mungkir janji atau sebarang sifat negatif yag merosakkan masyarakat. Perbuatan itu mengeruhkan hubungan dalam masyarakat dan mencacatkan hubungan dengan Allah SWT. Mereka yang melakukan jenayah rasuah akan menerima siksaan yang berat di akhirat kelak.

Perbuatan rasuah adalah melanggar amanah dan termasuk ke dalam golongan munafik. Rasulullah SAW bersabda:
 عَنْ أبى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:" آَيَةُ المُنَافِقِ ثَلاثٌ. إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Bermaksud: “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, jika dia berkata-kata, dia berdusta, apabila berjanji, dia mungkir, apabila diberi amanah, dia khianati”.
      (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Rasuah juga boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa hamba kepada Tuhannya. Alangkah ruginya kerana disebabkan perbuatan rasuah, ibadah kita hanya sia-sia dan menjauhkan diri kita daripada mendapat rahmat dan inayah Allah SWT. Lebih malang lagi kesan daripada perbuatan rasuah kita akan terdedah dengan malapetaka dan bencana dalam kehidupan.

Oleh kerana itu, pada hari ini sama-samalah kita membina keperibadian diri agar kita tidak terlibat dengan amalan rasuah dan mencari rezeki yang tidak halal sama ada sebagai pemberi rasuah, penerimanya atau perantaranya. Kerana Allah SWT dan Rasul-Nya melaknat ketiga-tiga golongan tersebut. Pembentukan peribadi juga berkait rapat dengan sumber rezeki yang menjadi punca makanan yang akan menjadi darah daging dalam diri kita. Rezeki yang halal akan membawa keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha kerana kerja adalah ibadah di sisi Allah SWT sekiranya dilakukan dengan ikhlas mengikut hukum syarak.
Marilah sama-sama kita berusaha mempertingkatkan kesedaran dalam usaha menghapuskan rasuah kerana tanpa kerjasama daripada seluruh anggota masyarakat, usaha-usaha pencegahannya tidak akan berjaya. Perkukuhkanlah keimanan dalam diri supaya dapat menjadi benteng daripada terjebak kepada jenayah rasuah yang keji ini. Firman Allah SWT dalam surah An- Nisa’ ayat 29-30 iaitu :

Maksudnya:“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya)”.


Islam amat menitikberatkan rezeki yang halal, rezeki yang diperolehi secara rasuah, pecah amanah dan suatu yang negatif adalah haram dan berdosa. Sedangkan banyak lagi bidang rezeki yang halal di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud:

Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu”.

Dalam satu riwayat bahawa, Rasulullah SAW mengirim seorang utusan untuk mengumpul zakat dari satu kabilah, tetapi setelah utusan itu menghadap Nabi SAW, sebahagian barang yang dibawanya itu dipegang dan dia berkata kepada Rasulullah SAW: 

Ini untukmu dan ini pula untuk saya yang diberikan oleh pembayar zakat, sebagai hadiah kepada saya. Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad SAW marah sambil bersabda yang bermaksud: Mengapa tidak sahaja kamu tinggal di rumah bersama kedua-dua ibu-bapa kamu sehingga hadiah itu sampai kepadamu, sekiranya kamu orang yang jujur”.

Pengamal rasuah akan sentiasa hidup dalam keresahan dan kebimbangan dan menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka. Justeru, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada perbuatan memberi atau menerima rasuah kerana perbuatan itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.00 atau yang mana lebih tinggi. Ingatlah, perbuatan rasuah amat dimurkai Allah SWT dan juga boleh menghancurkan masyarakat, agama dan negara.

Islam mengharamkan rasuah dalam apa jua bentuk dan nama. Saidina Omar bin Abdul Aziz pernah diberikan hadiah sewaktu menjadi khalifah tetapi ditolaknya, kemudian dia dikatakan kepadanya “Rasulullah SAW menerima hadiah” maka Saidina Omar bin Abdul Aziz menjawab, “apa yang diterima oleh Rasulullah SAW itu memang hadiah, tetapi ini buat saya adalah suapan (rasuah)”. Ambillah pengajaran dari sikap berhati-hati yang ditunjukkan oleh Khalifah Omar bin Abdul Aziz. Tetapi pada akhir zaman ini sebahagian umat Islam tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan menguntungkan mereka. Mereka ini ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat penting dalam kehidupan. Lantaran itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat dan keinginan masing-masing. 

Sesungguhnya ingin al faqir menyatakan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia yang cemerlang kerana:

Pertama : Menjamin kesinambungan nasab dan keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman;

Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warganya;

Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi rasuah; dan

Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan jenayah rasuah.

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab menghapuskan rasuah. Semoga darjat keimanan dan ketaqwaan kita semakin bertambah subur supaya dapat berbuat kebaikan dan mencegah diri dari perkara keji dan mungkar. Marilah kita hayati firma ALLAH dalam surah Ali Imran ayat 40 : 

Maksudnya:“Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang demikian ialah orang-orang yang berjaya..(surah Ali Imran ayat 104)

Sekian, terima kasih. 

~selamat membaca~

Thursday, October 27, 2016

Tanggungjawab kita dalam memilih pemimpin

Pembentukan sesebuah negara dan menentukan kuasa politik merupakan suatu tuntutan dalam Islam, ianya termasuk dalam tuntutan fardu kifayah kerana mempunyai kaitan langsung dengan perlaksanaan agama dan syariah. Berdasarkan pandangan ahl al-Sunnah dan jumhur ulama’ menyatakan bahawa pemilihan pemerintah hendaklah dipilih secara pilihanraya dengan memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan sesebuah kerajaan yang memerintah.
Pemilihan ini merupakan ikatan kontrak di antara pemerintah dengan rakyat. Justeru sebagai pemerintah yang dipilih dan dilantik oleh rakyat maka hendaklah melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab dari rakyat. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 27 :

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Dan sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya”.(Riwayat al-Bukhari)


Maka dalam urusan pemilihan pemerintah ini, apa yang begitu penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana sebab-sebab berikut antaranya: 

Pertama: Merupakan tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya agar mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya.

Kedua: Kedudukan pemerintah di kalangan rakyat adalah umpama paksi pada sesuatu binaan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan. 

Ketiga: Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penguasa, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.

Keempat: Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siasah syar’iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syarak tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum-hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. 

Kelima: Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat.

Bagi merealisasikan tanggungjawab rakyat ini maka para ulama’ telah menetapkan beberapa syarat untuk menentukan kelayakan seseorang pemimpin itu antaranya ialah keupayaan jasmani, kelayakan undang-undang, kelayakan ilmu, adil dan menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran. Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah bahawa: Seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran yang tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran yang menjamin kemaslahatan, berani, berupaya mempertahankan negara dan berjihad menentang musuh. Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat, tidak menggadaikan agama kerana kepentingan, berilmu, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara. Ingatlah bahawa tanggungjawab rakyat ini sekiranya tidak diberikan kepada mereka yang benar benar berhak, nescaya masa depan negara akan hancur dan hidup rakyat akan merana. Justeru kita sebagai rakyat hendaklah memilih pemimpin yang mampu membina masa depan rakyat dan negara. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Apabila amanah itu di sia siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: Bagaimana mensia siakannya. Rasulullah SAW menjawab:Apabila sesuatu jawatan itu di serahkan kepada orang orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran (Riwayat al-Bukhari).

Menjadi kewajipan kepada kita untuk membuat keputusan bijak dalam membentuk sebuah pemerintah yang dapat membela kesucian agama dan keamanan negara. Justeru, sebagai umat Islam, Janganlah kita terpengaruh dengan emosi dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan kerana menyesal kemudian hari tiada gunanya. Ingatlah bahawa keputusan kita ini menentukan masa depan kita. Di tangan kitalah yang menentukan nasib anak cucu kita. Mungkin ada sesetengah daripada kita yang ingin melihat menang sorak tanpa memikirkan kampung lamanya mungkin tergadai. Janganlah kita memilih untuk berpatah arang, berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi putung-putung arang. Kita seharusnya menghayati semangat ‘biduk berlalu kiambang bertaut’.

Ingin al faqir tekankan sekali lagi bahawa soal memilih pemimpin mempunyai kaitan dengan perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah SWT terhadap kita pada hari akhirat kelak. Justeru, selari dengan ini, adalah diseru umat Islam agar berlaku adil dalam menentukan kepimpinan dengan mengambil kira ciri-ciri yang telah disebutkan tadi. Percayalah negara yang diperintah oleh kepimpinan yang berwibawa dan konsisten akan menjamin segala dasar-dasar dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan beramanah lagi adil serta saksama. Sebaliknya kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara tidak akan dicapai jika diperintah oleh golongan yang tidak mempunyai sifat amanah dan hanya memburu jawatan.

Insyaallah segala usaha dan perkerjaan kita akan dikira sebagai satu ibadah dan berpahala di sisi Allah SWT.Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah as- Syuaraa' ayat 215-217:


Maksudnya:Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Sekian, terima kasih.

~selamat membaca~