Islam
diumpamakan sebagai sebuah binaan yang tertegak megah dengan lima batang tiang.
Tanpa lima tiang ini lslam seseorang akan goyah dan runtuh. lni membayangkan
betapa rukun ini mestilah ditegakkan oleh setiap muslim dengan penuh ikhlas,
amanah dan tanggungjawab. Menegakkan rukun lslam bermakna kesempurnaan,
keteguhan, keutuhan dan keelokan binaan lslam sebaliknya kecuaian bererti
keruntuhan, kehancuran dan kemusnahan lslam.
Sejarah telah
mencatatkan pelbagai cabaran dalam menegakkan Islam. Namun antara cabaran yang paling
utama adalah disebabkan keimanan yang rapuh kepada Allah SWT. Senario ini
menyaksikan lahir banyak penyelewengan yang hanya dapat diperbaiki dengan cara
memperbetulkan akidah individu dan masyarakat berkenaan.
Jelasnya,
keimanan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya mempunyai pengaruh dan kesan yang besar
terhadap keunggulan insan di sisi Allah SWT. Kita meyakini bahawa hanya cara
hidup beragama melalui jalan dan kefahaman yang benar serta usaha yang baik
melayakkan seseorang mendapat anugerah syurga Allah SWT ini. Syurga adalah negeri kemuliaan yang abadi iaitu negeri
yang penuh dengan kenikmatan yang sempurna. Kenikmatan yang telah Allah
SWT sediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Salah satu di antara pokok
keyakinan Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah mengimani adanya Syurga dan
Neraka. Firman Allah SWT di dalam Surah as-Saff ayat 10,
Mendapat syurga dan mendiaminya dengan
segala nikmat dan keseronokan menjadi cita-cita dan hasrat keinginan setiap
orang. Apa yang pasti, syurga merupakan tempat untuk memberi ganjaran kepada
orang yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh semasa hidup di dunia. Kenikmatan
syurga tidak pernah dapat dibayangkan oleh akal manusia, tidak pernah terlintas
di hati, tidak pernah dilihat dan tidak dapat digambarkan dengan perasaan serta
tiada bahasa untuk diterjemahkan.
Oleh
kerana iman itu sesuatu yang boleh bertambah dan berkurang, maka keimanan
menjadi pemelihara dan pendorong agar seseorang itu sentiasa memastikan
prestasi imannya terus teguh. Jika tidak, besar kemungkinan risiko untuk melakukan
dosa adalah sangat tinggi. Hakikatnya, orang yang benar-benar beriman akan cepat
menyesal jika mereka melakukan dosa. Iman tersebut akan menghukum dan menyeksa
hati kecilnya lantas serta merta ia bertaubat kepada Allah SWT.
Dalam konteks ini,
Islam mengajar umatnya bahawa pra-syarat untuk ke syurga ialah benar-benar
beriman kepada Allah SWT dan beramal soleh sesuai dengan apa yang diajarkan
oleh Rasulullah SAW. Dalam erti kata lain, tidak ada jalan singkat untuk ke
syurga kecuali dengan jalan syariat yang lurus lagi benar. Sewajarnya perkara
ini menyedarkan golongan yang cuba menyelewengkan ajaran Islam melalui slogan jihad
fi sabilillah dalam sudut pandang yang sempit sehingga memudaratkan
umat Islam itu sendiri. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hujurat ayat 15,
Faham jihad oleh segelintir golongan yang
ekstremis ini perlu diperbetulkan agar sejajar dengan asas kefahaman dan
keyakinan jihad yang disyariatkan. Al Faqir ingin menegaskan bahawa jihad qital
ialah urusan pentadbiran negara yang perlu menepati Maqasid asSyariah
atas maslahah umum. Selagi ia tidak mendapat keizinan pemerintah dan menepati
kaedah yang diharuskan, maka ia adalah ancaman yang boleh memberi impak negatif
terhadap keselamatan rakyat dan negara.
Malah
dalam sesetengah situasi, Rasulullah SAW tidak membenarkan umat Islam yang
mempunyai ibubapa untuk berjihad sekiranya tidak diizinkan sekalipun jihad itu
amalan yang paling baik. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukari dan Muslim
diceritakan bahawa Ibnu Mas’ud RA mendengar Rasulullah SAW bersabda
,
Jika diteliti dengan
lebih mendalam, sebenarnya masih terdapat banyak jalan dan peluang untuk
berjihad, bahkan nilai dan ganjaran pahalanya juga sangat besar di sisi Allah SWT.
Sebagai contohnya, berbakti kepada ibubapa, menyebarkan ilmu, menginfakkan
tenaga dan harta pada jalan dakwah dan seumpamanya. Sebagai manifestasi orang
yang beriman, maka setiap mukmin berkewajiban melaksanakan jihad mengikut
kemampuan, kedudukan, pangkat, kuasa, atau kekayaan yang mereka ada. Jika ia
berjaya dilaksanakan, maka ini sekaligus membuktikan nilai keimanan yang
dimiliki di mana ganjarannya adalah syurga.
Jika kita menelusuri sirah Nabi SAW,
pastilah kita akan mendapati bahawa baginda SAW sangat membenci keganasan,
apatahlagi mencetuskan peperangan. Namun apabila terdapat umat Islam atau yang
bukan Islam tersalah tafsir pengertian jihad itu adalah menyebarkan Islam
dengan pedang dan keganasan, maka kita wajib memperbetulkan kesilapan tersebut.
Ya, mungkin pedang berjaya menakluk negeri tetapi ia tidak mampu untuk menakluk
hati dan akal manusia. Usahlah kita hanya pandai untuk mati berperang tetapi
tidak pandai untuk hidup demi Islam.
Islam adalah agama yang
sejahtera yang perlu dihayati oleh kita semua. Umat Islam hendaklah mempunyai
kefahaman yang betul mengenai jihad sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum
syarak dan pastinya tiada jalan pintas ke syurga sekalipun melalui jihad.
Oleh itu, beberapa perkara yang boleh disimpulkan
ialah:
Pertama:
|
Umat Islam diseru agar memperkasakan
diri dengan ilmu dan kefahaman yang benar tentang fiqh al-jihad kerana
berjihad tanpa ilmu boleh mendatangkan fitnah dan keburukan kepada kesucian
ajaran Islam.
|
Kedua:
|
Saf kepemimpin negara selaku Ulil Amri
wajar bertindak dan mengambil tindakan mengekang keganasan dan keburukan serta
dibantu dengan sokongan ibubapa demi kemaslahatan masa depan anak-anak dan warganya;
dan
|
Ketiga:
|
Pahala berjihad sangat tinggi sehingga
beroleh ganjaran syurga daripada Allah SWT.
|
Akhir sekalai, marilah kita sama-sama merenung dan memahami firman ALLAH dalam surah al baqarah ayat 214 :
Maksudnya:
“Adakah
patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada
kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang
terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda)
dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga
berketalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersertanya: Bilakah
(datangnya) pertolongan Allah?. Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu
dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah”. (Surah
al-Baqarah:214)
Sekian, terima kasih.
~selamat membaca~